Dua lokasi di Seberang Perai dilanda banjir kilat, 20 rumah terjejas

LocalEnvironment
25 Oct 2026 • 10:38 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua lokasi di Seberang Perai dilanda banjir kilat, 20 rumah terjejas

GEORGE TOWN -Hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi mengakibatkan dua lokasi di daerah Seberang Perai dekat sini dilanda banjir kilat, dengan kira-kira 20 buah rumah terjejas di Taman Cantek, Butterworth.

Kejadian turut melibatkan Jalan Jelawat, Seberang Jaya apabila air naik sehingga kira-kira 0.3 meter (satu kaki) susulan hujan lebat dan peningkatan paras air di parit berhampiran.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata,pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat di Taman Cantek pada pukul 12.24 tengah malam.

Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth tiba di lokasi lapan minit kemudian sebelum melakukan pemantauan di kawasan perumahan berkenaan.

“Banjir kilat itu dianggarkan menjejaskan kira-kira 20 rumah dengan paras air mencecah satu kaki.

“Operasi pemantauan tamat pada pukul 1.10 pagi selepas keadaan didapati terkawal dan air mula surut,” katanya di sini, tadi.

Sementara itu katanya, pasukan dari BBP Perai menerima panggilan berhubung banjir di Jalan Jelawat, Seberang Jaya pada pukul 3.24 pagi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi enam minit kemudian dan mendapati air turut naik sehingga kira-kira satu kaki di jalan serta kawasan taman perumahan berhampiran.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan dan peningkatan paras air di parit berhampiran.

“Bagaimanapun, tiada aktiviti menyelamat dilakukan di kedua-dua lokasi kerana keadaan terkawal dan air beransur surut,” ujarnya operasi di Jalan Jelawat tamat pada pukul 3.51 pagi tadi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian. -KOSMO! ONLINE

The post Dua lokasi di Seberang Perai dilanda banjir kilat, 20 rumah terjejas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved