PETALING JAYA – Kereta yang dinaiki dua individu yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 18.2 Lebuhraya Persekutuan awal pagi Isnin dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kemalangan yang melibatkan sebuah Proton Wira dan dua lagi kereta itu berlaku kira-kira pukul 12.20 tengah malam.
Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.05 pagi Isnin.
“Siasatan awal mendapati Proton Wira yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dalam perjalanan dari Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur sebelum dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya.
“Kejadian itu menyebabkan perlanggaran dengan dua lagi kereta yang berada di belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua individu maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Kilometer 18.2 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.27 tengah malam.
Sementara itu, Shamsudin berkata, pemandu Proton Wira dan seorang penumpang berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan parah serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Dua lagi penumpang yang juga rakan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian badan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata, polis meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Nazar Md Kasim di talian 012-5653395 bagi membantu siasatan.
“Pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.






