LANGKAWI - Dua pelajar sekolah menengah maut dalam kemalangan tragis selepas motosikal dinaiki bertembung dengan kereta di Jalan Nyior Chabang di sini pada Selasa.
Mangsa dipercayai Muhammad Danial Afiq Barahan dan rakannya, Muhamad Amir Ashraf Muhamad Farid.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, polis menerima maklumat kejadian pada jam lebih kurang 1.51 petang membabitkan kematian dua pelajar sekolah menengah di daerah ini.
Menurutnya, kemalangan berlaku membabitkan motosikal jenis Yamaha Y15 yang dinaiki kedua-dua mangsa dengan tiga kereta lain.
"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah dari arah Simpang Kenyum menghala ke Nyior Chabang.
"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai sedang memotong dua buah kereta dari laluan sama sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang datang dari arah hadapan," katanya.
**media[3655799]**
Beliau berkata, akibat impak pelanggaran yang kuat, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Sementara itu, ketiga-tiga pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal namun berada dalam keadaan trauma.
Jasad kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian memandu dengan melulu atau membahayakan.
Beliau berkata, polis menyeru mana-mana orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka untuk tampil membantu siasatan.
Pihaknya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua pelajar di atas kehilangan anak mereka akibat tragedi tersebut.
"Rentetan daripada kes ini, kami ingin menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan memastikan kenderaan digunakan, terutamanya motosikal mempunyai lesen memandu yang sah serta mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.
"Jangan sesekali membiarkan anak-anak menunggang dalam keadaan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.






