
PETALING JAYA: Dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Melaka dilaporkan hilang setelah lokasi terakhir dikesan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memohon orang ramai mendoakan agar Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd. Saad dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.
“Di pagi Jumaat barakah ini tolong doakan supaya dua pelajar MRSM Alor Gajah yang hilang kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Berdasarkan poster hebahan, kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu dilaporkan hilang dengan lokasi terakhir mereka dilihat di TBS.
Siti Nur Aaira mempunyai ciri fizikal berkulit cerah sederhana atau kecoklatan, berbadan kurus dan tinggi serta kali terakhir dilihat memakai baju berwarna hitam.
Sementara itu, Nur Aisy Humaira pula dilaporkan kali terakhir dilihat memakai pakaian berwarna gelap.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua pelajar berkenaan diminta menghubungi talian 013-299 4303, 019-765 2404 atau 019-2370810. – UTUSAN
The post Dua pelajar MRSM Alor Gajah hilang appeared first on Utusan Malaysia.






