
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon orang ramai mendoakan agar dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang dapat ditemukan semula dalam keadaan selamat.
Menerusi hantaran di media sosial, Asyraf Wajdi berkata, dua pelajar berkenaan ialah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, masing-masing berusia 16 tahun.
“Di pagi Jumaat barakah ini tolong doakan agar dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang hilang kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat,” katanya.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya meminta bantuan orang ramai bagi mengesan kedua-dua pelajar Tingkatan Empat berkenaan yang dilaporkan hilang sejak 11 Ogos lalu.
Menurut beliau, polis menerima laporan daripada seorang guru mengenai kehilangan kedua-dua remaja terbabit pada jam 10.46 malam, 11 Ogos lalu.
Siti Nur Aaira Aidi dilaporkan mempunyai ketinggian 157 sentimeter dan berat 50 kilogram. Beliau beralamat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.
Sementara itu, Nur Aisy Humaira Mohd Saad juga mempunyai ketinggian dan berat yang sama serta beralamat terakhir di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor.

Baca juga:
Kumpulan hak asasi haiwan gesa MBS hentikan program serah anjing terbiar
Tindakan spontan lelaki selamatkan dua kanak-kanak dalam kebakaran raih pujian
Polis jalankan siasatan dakwaan kanak-kanak 12 tahun diekori sebuah kenderaan
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan, Siti Nur Aaira kali terakhir dilihat di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan dipercayai memakai baju berwarna hitam. Dia mempunyai kulit cerah sederhana, bertubuh kurus dan tinggi.
Nur Aisy Humaira pula kali terakhir dilihat di lokasi sama dan memakai pakaian berwarna gelap.
Ahmad Abu Bakar berkata, polis sedang menjalankan usaha mengesan kedua-dua pelajar terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrul Izwan Mohd Suffian di talian 017-8180106 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada keluarga melalui talian 013-2994303 (ibu Siti Nur Aaira), 019-7652404 (ayah) atau 019-2370810 (Nisa).
The post Dua pelajar MRSM Alor Gajah hilang sejak 11 Ogos, Asyraf Wajdi mohon doa appeared first on The Reporter.






