
ALOR GAJAH – Polis meminta bantuan orang ramai mengesan dua pelajar perempuan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan kedua-dua remaja itu pada pukul 10.46 malam, 11 Ogos lalu.
Menurutnya, laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Rumbia dan
remaja pertama dikenali sebagai Siti Nur Aaira Aidi yang beralamat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.
“Dia mempunyai ketinggian 157 sentimeter, berat kira-kira 50 kilogram dan berkulit gelap.
“Seorang lagi remaja ialah Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang beralamat di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor dan berketinggian 157 sentimeter dan mempunyai berat kira-kira 50 kilogram serta berkulit cerah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi media sosialnya turut mengajak orang ramai mendoakan keselamatan kedua-dua pelajar berkenaan.
“Di pagi Jumaat yang penuh barakah ini, tolong doakan agar dua pelajar MRSM Alor Gajah, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang hilang kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Dua pelajar MRSM Alor Gajah hilang sejak Selasa dicari appeared first on Kosmo Digital.






