
PETALING JAYA: Tiga lelaki termasuk seorang remaja ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan memecahkan cermin lima buah kenderaan di kawasan tempat letak kereta di Desa Mentari, di sini, semalam.
Kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan belasan hingga 20-an.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan dibenarkan reman selama tiga hari sehingga Khamis ini.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly memaklumkan pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5 petang.
Siasatan awal mendapati kumpulan suspek yang menaiki tiga buah motosikal bertindak memecahkan cermin beberapa kenderaan sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Susulan itu, lima buah kenderaan dilaporkan mengalami kerosakan dan tiada kehilangan harta benda dilaporkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – UTUSAN
The post Tiga termasuk remaja ditahan disyaki pecahkan cermin lima kenderaan appeared first on Utusan Malaysia.






