
PETALING JAYA: Dua pemandu maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Lingkaran Tengah 2 menghala ke Bukit Antarabangsa, dekat sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah malam apabila sebuah Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kereta yang dipandu lelaki berkenaan dalam perjalanan dari Taman Melawati menghala ke Cheras sebelum melanggar bahagian hadapan sebuah Toyota Vellfire.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Ampang.
“Pemandu Toyota Vellfire turut mengalami kecederaan sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ampang, manakala penumpangnya masih menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya bagi membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN
The post Dua pemandu kereta maut kemalangan berhampiran Bukit Antarabangsa appeared first on Utusan Malaysia.



![[KEMAS KINI] Tayar lori pecah punca nahas ragut nyawa suami isteri](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/nahas-kemalangan-1024x768.jpeg)
![[KEMAS KINI] Suami isteri maut MPV dihempap lori bawa tar dikenal pasti](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/dihempap-lori-1024x787.jpeg)

