
SEBERANG PERAI – Dua lelaki yang sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di kawasan hutan Taman Belia, Botanical Garden, di sini petang tadi ditemui selamat oleh pasukan bomba.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 6.11 petang.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan selepas kedua-dua mangsa yang berusia 25 tahun berkongsi lokasi mereka menerusi aplikasi WhatsApp.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan operasi mencari dan menyelamat berpandukan lokasi yang dikongsi mangsa melalui aplikasi terbabit.
“Pencarian turut disertai tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum kedua-dua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada pukul 7.42 malam,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari kaki bukit sebelum dibawa turun dan diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada pukul 7.50 malam tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Dua pendaki sesat dalam hutan ditemui selamat appeared first on Kosmo Online.






