Dua pengarah Mandiri Development Centre ditahan bantu siasatan kes pengubahan wang haram

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 12:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua pengarah Mandiri Development Centre ditahan bantu siasatan kes pengubahan wang haram
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri Development Centre Sdn Bhd serta menahan dua pengarah syarikat berkenaan, petang semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan jam 3.53 petang oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

"Kertas siasatan dibuka pada 10 September susulan satu laporan polis yang dibuat berdasarkan hasil semakan terhadap syarikat berkenaan berhubung penerimaan dana yang disyaki hasil daripada aktiviti haram bagi tempoh 2024 hingga 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis akan meneruskan siasatan secara menyeluruh berlandaskan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes ini, termasuk aspek penyimpanan, pemindahan, penggunaan serta kemasukan atau pengeluaran wang yang disyaki mempunyai kaitan dengan hasil daripada aktiviti haram.

Mohd Khalid turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan bagi memastikan kelancaran proses siasatan.

Semalam, kedua-dua pengarah itu dipanggil pihak polis untuk dirakam kenyataan berhubung siasatan yang dijalankan.

Selesai proses merakam keterangan, mereka ditahan tidak lama selepas mengadakan sidang media di luar Menara KPJ (Pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman) di Kuala Lumpur.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved