
PETALING JAYA – Polis membuka kertas siasatan berhubung Mandiri Development Centre Sdn. Bhd. susulan laporan berkaitan penerimaan dana yang disyaki hasil daripada aktiviti haram bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
“Satu kertas siasatan berkaitan Mandiri Development Centre Sdn. Bhd. pada 10 September 2026 telah dibuka.
“Semalam sekitar pukul 3.53 petang, pasukan berkenaan menahan dua individu yang merupakan pengarah syarikat tersebut di Pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan siasatan secara menyeluruh dengan berlandaskan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes ini.
“Siasatan turut meliputi aspek penyimpanan, pemindahan, penggunaan serta kemasukan atau pengeluaran wang yang disyaki mempunyai kaitan dengan hasil daripada aktiviti haram,” katanya.
Tambahnya, PDRM memberi jaminan bahawa siasatan akan dilaksanakan secara profesional, telus dan berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE
The post Dua pengarah Mandiri Development Centre ditahan appeared first on Kosmo Online.






