
TAIPING: Seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan dua motosikal di Kilometer 235.3 (Selatan), Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai terlanggar bahagian ekzos sebuah motosikal jenis sama yang ditunggang lelaki berusia 29 tahun.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner S.Saravanan berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar bahagian tepi sebuah lori jenis Volvo.
Menurut beliau, mangsa yang berusia 20 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kemalangan tersebut.
“Penunggang motosikal berusia 29 tahun pula mengalami kecederaan patah pada kaki kanan, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Polis menyeru mana-mana individu yang menyaksikan kemalangan tersebut supaya tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shahrin Mohamad di talian 017-9266286,” katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN
The post Penunggang motosikal maut selepas langgar lori di Lebuh Raya Utara-Selatan appeared first on Utusan Malaysia.






