Dua peserta larian cedera dilanggar motosikal

3 Oct 2026 • 5:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Dua peserta larian cedera dilanggar motosikal

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Dua peserta acara Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon (SCKLM) 2026 cedera selepas dilanggar sebuah motosikal yang dipercayai ditunggang secara melawan arus di Jalan Munshi Abdullah di sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian kira-kira 6.15 pagi itu melibatkan mangsa seorang wanita berusia 50 tahun dan seorang lelaki 41 tahun.

Beliau berkata siasatan awal mendapati motosikal ditunggang lelaki berusia 21 tahun bersama-sama pembonceng berusia 19 tahun itu telah menceroboh laluan yang ditutup dengan kon untuk acara larian berkenaan.

“Penunggang motosikal itu telah diarahkan berhenti oleh anggota polis yang sedang bertugas mengawal penutupan jalan, namun dipercayai melarikan diri dengan menunggang secara melawan arus sebelum melanggar kedua-dua peserta larian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata mangsa wanita mengalami kecederaan di bahagian leher dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini, manakala mangsa lelaki cedera pada lutut kanan serta tangan.

Mohd Zamzuri berkata saringan awal alkohol terhadap penunggang motosikal itu menunjukkan keputusan positif dengan bacaan Evidential Breath Analyzer (EBA) sebanyak 164 miligram bagi setiap 100 mililiter.

Beliau berkata penunggang dan pembonceng berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pengambilan sampel darah dan air kencing untuk membantu siasatan lanjut.

Penunggang motosikal itu direman tiga hari bermula hari ini hingga Isnin, manakala pembonceng selama dua hari hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee melalui talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved