![Image from: [VIDEO] Dua peserta KLSCM cedera dilanggar penunggang mabuk](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-03-at-15.36.06-1024x576.jpeg)
KUALA LUMPUR – Dua peserta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 cedera selepas dilanggar penunggang motosikal yang disyaki mabuk di Jalan Munshi Abdullah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, suspek bersama pemboncengnya, lelaki berusia 19 tahun, dipercayai melepasi laluan yang telah ditutup menggunakan kon sebelum diarahkan berhenti oleh anggota polis yang sedang bertugas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek bagaimanapun dipercayai melarikan diri secara melawan arus sebelum merempuh dua peserta marathon yang sedang berlari.
“Akibat kejadian tersebut, seorang peserta wanita berusia 50 tahun mengalami kecederaan di bahagian leher dan sedang menerima rawatan di Prince Court.
“Seorang lagi peserta lelaki berusia 41 tahun pula mengalami kecederaan pada lutut kanan dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, saringan awal alkohol terhadap penunggang mendapati keputusan positif dengan bacaan EBA sebanyak 164mg/100ml.
Katanya, penunggang dan pembonceng kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pengambilan sampel darah dan air kencing untuk tujuan siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah beliau, penunggang motosikal direman selama tiga hari bermula hingga 5 Oktober ini manakala pembonceng direman selama dua hari sehingga 4 Oktober.
“Kedua-duanya ditahan reman di Lokap Balai Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan,” katanya.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Dua peserta KLSCM cedera dilanggar penunggang mabuk appeared first on Kosmo Online.






