
Polis Melaka tahan tiga lelaki dalam serbuan sindiket kerja palsu menerusi TikTok yang sasar warga China untuk lakukan transaksi kewangan.
MELAKA: Sindiket penipuan tawaran pekerjaan dalam talian tidak wujud yang dipercayai menyasarkan warga China tumpas susulan penahanan tiga lelaki warganegara itu dalam serbuan di dua premis berasingan di kawasan Melaka Raya, di sini, Rabu lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintenden Azrul Mohamed berkata ketiga-tiga lelaki berusia antara 29 dan 37 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 12 tengah hari oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
“Sindiket ini dipercayai mula beroperasi di Melaka sejak awal Ogos lepas dengan kesemua suspek berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan untuk mencari mangsa dan menawarkan pekerjaan dalam talian tidak wujud melalui aplikasi TikTok.
“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah memperdaya mangsa melalui tawaran pekerjaan dalam talian tidak wujud dengan memberikan tugasan seperti menyukai iklan dan bermain permainan dalam talian, Aether Swap melalui aplikasi TikTok,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa dijanjikan komisen atau keuntungan hasil daripada tugasan berkenaan.
Azrul berkata setelah suspek berjaya mendapatkan mangsa yang berminat untuk melaksanakan tugasan yang diberi, komunikasi dengan mangsa akan diambil alih oleh individu lain dalam rangkaian sindiket yang sama bagi meneruskan proses memperdayakan mangsa sehingga mereka melakukan transaksi kewangan.
Beliau berkata kesemua suspek dipercayai menerima gaji kira-kira RMB5,000 bersamaan anggaran RM3,000, yang dibayar melalui WeChat Wallet sepanjang tempoh sebulan.
“Hasil serbuan di kedua-dua premis itu, polis juga telah merampas sebuah komputer riba, 23 telefon bimbit pelbagai jenama, satu set penghala WiFi, dua buku nota dan dua rak kayu,” katanya.
Azrul berkata kesemua suspek direman mulai hari ini sehingga 14 Sept untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.






