Radium labur RM1.9 juta taja 18 pelajar kejururawatan untuk hospital baharu di Melaka

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 9:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Radium labur RM1.9 juta taja 18 pelajar kejururawatan untuk hospital baharu di Melaka Image from: Radium labur RM1.9 juta taja 18 pelajar kejururawatan untuk hospital baharu di Melaka liza26/11/2026 - 09:53 Tajaan berkenaan merangkumi yuran pengajian dan pendaftaran, uniform, penginapan serta insurans kemalangan diri, selain elaun bulanan dan elaun buku tahunan bagi membantu pelajar menumpukan perhatian terhadap pengajian Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov – Radium Healthcare Sdn Bhd memperuntukkan RM1.9 juta menerusi Program Tajaan Kejururawatan 2026 bagi membiayai pengajian 18 pelajar Malaysia dalam bidang kejururawatan sebagai persediaan memenuhi keperluan tenaga kerja hospital baharunya di Ayer Keroh, Melaka yang dijadualkan beroperasi pada 2028.

 

Program sulung itu melibatkan pelajar yang mengikuti Diploma Kejururawatan di IMU College menerusi dua pengambilan pada Mac dan Julai 2026 dengan setiap penerima menerima tajaan dianggarkan RM107,900 sepanjang tempoh pengajian tiga tahun.

 

Tajaan berkenaan merangkumi yuran pengajian dan pendaftaran, uniform, penginapan serta insurans kemalangan diri, selain elaun bulanan dan elaun buku tahunan bagi membantu pelajar menumpukan perhatian terhadap pengajian.

 

Penerima turut layak mendapat bonus kecemerlangan akademik, bayaran balik kos vaksinasi serta perlindungan rawatan perubatan pesakit luar sepanjang tempoh pengajian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Radium Healthcare, Dr Arun Kumar berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat untuk melahirkan tenaga profesional kesihatan selain memastikan kumpulan hospital berkenaan mempunyai jururawat terlatih bagi menyokong operasi masa hadapan.

 

t
Dr Arun Kumar

 

Menurutnya, pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja sejak peringkat awal penting bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat.

 

Lima tahun ikatan perkhidmatan selepas tamat pengajian

Selain menanggung kos pendidikan, program itu turut menyediakan laluan kerjaya kepada penerima tajaan untuk memohon peluang pekerjaan di Radium Hospital @ Ayer Keroh selepas menamatkan pengajian, tertakluk kepada syarat program.

 

Bagaimanapun, penerima tajaan diwajibkan menjalani ikatan perkhidmatan selama lima tahun dengan kumpulan hospital berkenaan selepas tamat pengajian.

 

Dua penerima program, Muhammad Amirul Amri Badarisham dan Putri Nur Ain Marisa Mohd Zulkalnain, menyifatkan tajaan itu sebagai peluang untuk merealisasikan cita-cita dalam bidang kejururawatan, selain membina kerjaya dalam profesion yang menitikberatkan penjagaan dan kebajikan pesakit.

 

t

 

Hospital 140 katil dijangka beroperasi pada 2028

Radium Hospital @ Ayer Keroh dirancang sebagai hospital tertiari dengan kapasiti 140 katil serta dilengkapi 40 klinik pakar, sekali gus menambah kemudahan rawatan pakar di Melaka dan kawasan selatan negara.

 

Hospital itu terletak bersebelahan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan berhampiran persimpangan Ayer Keroh dengan operasi dijangka bermula pada 2028.

 

Radium Healthcare berkata, program tajaan berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan tenaga kerja jangka panjang syarikat menjelang pembukaan hospital itu, bagi memastikan kumpulan profesional kesihatan yang berkelayakan dapat dibangunkan lebih awal.

 

Syarikat itu juga tidak menolak kemungkinan meneruskan program tajaan kejururawatan berkenaan pada tahun-tahun akan datang bagi menyokong pembangunan tenaga kerja kesihatan negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved