
PEMPENGARUH MUA Bellaz sekali lagi meraih pujian warganet selepas mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di kampung halamannya.
Kala influencer lain mengadakan rumah terbuka Syawal di hotel mewah dengan senarai jemputan dalam kalangan artis terkenal, pemilik nama Nur Nabila Zulyadaini tetap merendah diri meraikan orang kampung.
Memuat naik video kemeriahan majlis, Bellaz menzahirkan kesyukuran atas kurniaan rezeki yang dapat dikongsi.
"ALLAH, ALLAH, Alhmdulilah. Syukur rezeki segala nikmat ALLAH berikan, dapat kita sama-sama berkongsi rezeki dengan orang ramai.
"Alhamdulilah tahun ini dua kali ganda untuk jamuan raya Alhmdulilah. Terima kasih yang hadir semua.
"Minta maaf segala kekurangan dari Bellaz ya. Doakan ada rezeki Bellaz jemput lebih ramai lagi insya-ALLAH. Aminn aminn.
"Terima kasih semua followers Bellaz dari zaman Facebook ke TikTok, tanpa kalian Bellaz tak akan smapai ke ke sini 2013 - 2026," titipnya.

Dalam pada itu, Bellaz sempat mengenang kembali kisah beras sekampit yang membentuk dirinya bersifat rendah diri dan menghargai suami.
Jelas Bellaz, Anuar atau lebih dikenali sebagai Mat Nuart merupakan insan yang menolong keluarganya dalam kelaparan pada ketika itu dengan membawa sekampit beras.
"Terima kasih Mat Nuart ada dengan saya daripada kisah beras sekampit untuk beri keluarga dan famili saya makan.
"Rahsia ALLAH siapa yang tahu. Alhamdulillah syukur atas pinjaman rezeki-MU di dunia ini," titipnya.
Menerusi video yang dimuat naik, 10 buat khemah didirikan untuk tetamu manakala deretan khemah lain pula menempatkan pelbagai hidangan.
Selain jamuan makan, hadirin dihiburkan dengan persembahan bunga api!

Warganet tertarik dengan kerendahan hati Bellaz. Ibu kepada Iris Alisya, Aidil Mikhail, Ean Yusof dan Aiswarya Nealofa itu dipuji tidak memilih bulu.
"Bellaz sahaja yang saya rasa benar-benar mengadakan rumah terbuka kerana ramai orang boleh hadir, bukan terhad atau memilih influencer. Alhamdulillah, pemurah betul, patutlah rezeki mencurah-curah."
"Paling meriah dan have-have setiap tahun. Tidak perlu jemputan kad dan VVIP. Siapa hendak datang tak perlu ikut tema. Bebas. ALLAH dah atur rezeki Bellaz dan Mat Nuart untuk semua."
"Dia pernah susah dan kini dia jamu orang susah. Tahniah insan hebat," kongsinya.
"Istimewanya Bellaz dan suami, mereka ini tidak sombong, tak cari yang high class atau geng kaya sahahja. berkat Alhamdulillah. "
"Ini food fest atau open house? Terbaik Bellaz dan Mat Nuart."
Baru-baru ini Bellaz mengadakan sambutan hari lahirnya dengan menyantuni orang kampung. Untuk majlis ala kenduri itu, Bellaz dilihat menyediakan sendiri menu secara rewang bersama penduduk setempat.






