DUN: Isu pajakan Pulau Pinang, Kedah tunggu Kerajaan Persekutuan bertukar – Sanusi

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 11:51 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DUN: Isu pajakan Pulau Pinang, Kedah tunggu Kerajaan Persekutuan bertukar – Sanusi

ALOR SETAR: Kedah mempertimbang langkah untuk menunggu sehingga berlaku perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan sebelum mengemukakan dokumen lengkap berhubung tuntutan bayaran pajakan Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu antara pilihan yang sedang dipertimbangkan sekiranya Kerajaan Persekutuan ketika ini masih tidak memberikan jawapan positif terhadap tuntutan berkenaan.

Menurut beliau, isu tuntutan bayaran pajakan tersebut sudah dibangkitkan kerajaan negeri sejak kira-kira enam tahun lalu, namun belum mendapat maklum balas yang diharapkan.

“Kita tukar Kerajaan Persekutuan. Ada pertimbangan yang sedang kita buat sama ada semua dokumen ini perlu diserahkan sekarang untuk dicincang atau kita serah kemudian setelah kita jadi Kerajaan Persekutuan. Kalau mereka ada telinga untuk dengar dan ada akal untuk fikir, tentulah hal ini telah diterima sebagai bahan yang perlu dibincangkan.

“Tapi dalam tempoh enam tahun ini, belum ada respon positif daripada Kerajaan Persekutuan, yang agak melompat kerajaan Pulau Pinang, saya pun tak tahu mengapa, sebab kita bukan usik dia pun,” katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Muhammad Sanusi (PN-Jeneri) menjawab soalan tambahan Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam) tentang langkah semasa sekiranya Kerajaan Persekutuan masih ‘degil’ enggan membayar tuntutan itu atau tidak mahu mempertimbangkan perkara itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini sudah mempunyai dokumen kajian yang lebih lengkap selepas pasukan penyelidik terdiri daripada pakar sejarah dan perundangan menyiapkan kajian komprehensif berkaitan tuntutan itu.

Katanya, laporan akhir kajian telah dibentang kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ADUN dan Ahli Parlimen berkaitan pada 15 April 2025, selain kerajaan negeri turut melantik pasukan peguam bagi meneliti tindakan perundangan yang bersesuaian.

Dalam jawapan asal, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan meneruskan usaha melalui rundingan antara kerajaan, pengemukaan dokumen serta asas tuntutan yang lengkap dan tindakan undang-undang sekiranya diperlukan.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri kekal komited mempertahankan hak dan kepentingan Kedah melalui saluran yang sah, tertib serta berlandaskan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Menjawab soalan tambahan Bau Wong Bau Ek (PH-Sidam) sama ada tuntutan itu pernah dibincangkan ketika 33 bulan PN menerajui Kerajaan Persekutuan, Menteri Besar berkata, beliau pernah membangkitkan perkara itu kepada Perdana Menteri ketika itu.

“Tetapi ketika itu dokumen belum siap seperti yang kita ada sekarang, jadi kita tidak kemukakan. Bila sudah siap, barulah kita boleh kemukakan. Tapi kita tengok dulu siapa Perdana Menteri, kalau nampak macam Perdana Menteri duduk di depan undang-undang, kita berhenti sat dulu (tangguh),” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, tuntutan Kedah perlu dilihat berdasarkan undang-undang dan tidak wajar dipengaruhi oleh siapa yang memegang jawatan dalam kerajaan.

“Undang-undang ini patut berada di depan, tidak kira siapa dan tidak kira bila. Bila ada kesalahan, perlu diambil tindakan berdasarkan undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN

The post DUN: Isu pajakan Pulau Pinang, Kedah tunggu Kerajaan Persekutuan bertukar – Sanusi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved