
SEREMBAN — Isu peruntukan berjumlah RM180,000 bagi tempoh Julai hingga September 2026 yang diluluskan dipercayai sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan menjadi antara perkara yang dibangkitkan dalam perbahasan Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Sidang Dun Khas Negeri Sembilan, hari ini.
Isu berkenaan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johol, Saiful Yazan Sulaiman, yang menekankan keperluan ketelusan serta tatakelola dalam pengurusan wang kerajaan negeri dalam kerajaan negeri sebelum ini.
Menurutnya, wang kerajaan bukan wang parti atau wang pemimpin, sebaliknya amanah rakyat yang perlu diuruskan mengikut tatakelola dan peraturan ditetapkan.
Perbahasan itu turut menyentuh dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana berjumlah RM180,000, susulan pendedahan dua dokumen peruntukan bagi menjalankan program atau aktiviti kesejahteraan rakyat bagi bulan Julai hingga September 2026 yang dimasukkan ke dalam akaun bank pusat khidmat pada 4 Jun lalu.
Adun Bahau, Teo Kok Seong, yang mencelah bagaimanapun mempertahankan bahawa pengurusan peruntukan berkenaan telah dibuat mengikut tatakelola.
“Kalau dah pembangkang dan tekan ‘butang’ itu adalah normal,” katanya yang merupakan Exco pentadbiran kerajaan negeri terdahulu.
Dalam perbahasan itu, Adun Gemas, Ridzuan Ahmad, turut mempersoalkan kewajaran peruntukan RM180,000 bagi bulan Julai, Ogos dan September sedangkan Dun Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun 2026. – KOSMO! ONLINE
The post DUN Negeri Sembilan: Peruntukan RM180,000 dibangkitkan appeared first on Kosmo Digital.






