Sidang DUN Negeri Sembilan panas, peruntukan RM180,000 ADUN PH dilulus sehari sebelum DUN bubar dipersoal

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 4:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sidang DUN Negeri Sembilan panas, peruntukan RM180,000 ADUN PH dilulus sehari sebelum DUN bubar dipersoal
Mohd Zaidy menuntut peruntukan RM180,000 kepada ADUN PH yang diluluskan sehari sebelum DUN bubar dipulangkan.
Image from: Sidang DUN Negeri Sembilan panas, peruntukan RM180,000 ADUN PH dilulus sehari sebelum DUN bubar dipersoal
Teo Kok Seong

SEREMBAN - Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Selasa panas apabila isu peruntukan RM180,000 kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang diluluskan sehari sebelum pembubaran DUN dibangkitkan.

Ketidakpuasan hati itu pada mulanya disuarakan oleh Datuk Saiful Yazan Sulaiman (Johol-BN) yang menyifatkan peruntukan terbabit seolah-olah dana pilihan raya.

"Ia seolah-olah seperti dana pilihan raya pula untuk mereka dan jika benar peruntukan tersebut dibuat hampir dengan pembubaran Dewan, maka ia menimbulkan persoalan yang serius dari sudut kewajaran, keutamaan dan tatakelola.

"Sebarang keputusan kewangan yang dibuat pada saat akhir sebelum pembubaran Dewan mestilah mempunyai justifikasi yang lebih kukuh dan jika itu benar, rakyat berhak bertanya," katanya.

Justeru, beliau menyeru kerajaan negeri hari ini supaya menyiasat dakwaan berkenaan yang disifatkannya sebagai tuduhan berat dan memalukan.

Tambahnya, siasatan terperinci perlu dilakukan termasuk mengenal pasti tarikh kelulusan, penerima, tujuan peruntukan dan proses pembayaran, pematuhan kepada tatacara kewangan serta hasil sebenar kepada rakyat.

"Jika semuanya teratur, bentangkan fakta. Jika ada kelemahan, akui dan perbetulkan.

"Jika terdapat unsur yang memerlukan siasatan dan wujud unsur penyelewengan, serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya.

**media[3618833]**

Bagaimanapun, Teo Kok Seong (Bahau-PH) mohon mencelah kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan bahawa peruntukan berkenaan diluluskan tanpa mengikut tatakelola.

Jelasnya, segala kelulusan peruntukan tersebut dibuat mengikut tatakelola yang ditetapkan, sama seperti ketika Kerajaan Perpaduan di negeri itu sebelum ini yang tidak meluluskan peruntukan kepada ADUN Perikatan Nasional (PN).

"Masa itu adanya permintaan daripada rakan-rakan PN yang mahukan peruntukan, tetapi pada masa itu kita tidak memberi kepada mereka dan saya rasa semua sedia maklum.

"Kalau pembangkang sudah tekan 'button' tidak mahu ikut kerajaan terdahulu, saya rasa memang normal bagi saya," katanya.

Kemudiannya, Ridzuan Ahmad (Gemas-PN) mempersoalkan kewajaran peruntukan RM180,000 itu diluluskan untuk tempoh Julai hingga Oktober, sedangkan DUN telah dibubarkan pada Mei.

Datuk Seri Jalaluddin Alias (Pertang-BN) pula mempertikaikan kenyataan Kok Seong yang memaklumkan peruntukan tersebut hanya diberikan kepada ADUN PH bukannya kepada semua ADUN di bawah Kerajaan Perpaduan.

"Kita menarik sokongan kepada Menteri Besar, tapi bukannya kerajaan. Saya nak betulkan itu Bahau (Kok Seong) sahabat saya. Maknanya kalau Yang Berhormat dapat, kita pun mesti dapat," katanya.

Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir(Jeram Padang-BN) pula menuntut peruntukan tersebut dipulangkan kerana ia adalah duit rakyat, bukannya untuk diri sendiri.

Selain itu, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malik (Ampangan-PN) pula mendakwa ia bukan sahaja membabitkan peruntukan RM180,000, tetapi turut melibatkan tambahan sebanyak RM45,000.

"Diumumkan dibubarkan DUN pada 5 Jun dan surat itu pula kononnya keluar 4 Jun. Sebenarnya surat itu keluar bila?

"Duit itu masuk bila dalam akaun mereka yang terbabit? Adakah pada 4 Jun itu atau selepas tarikh 5 Jun, selepas dibubarkan? Saya fikir ini soalan yang perlu dijawab secara terperinci, demi ketelusan kerana ini dana rakyat, bukannya peribadi," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri(PRN) lalu, tular surat sumbangan kewangan untuk kesejahteraan rakyat yang diberikan kepada ADUN PH berjumlah RM180,000 untuk bulan Julai-September yang bertarikh 4 Jun.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved