Dutch Lady beli 35% saham Jemaluang Dairy Valley pada harga RM17.5 juta

LocalBusiness & Finance
10 Nov 2026 • 5:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dutch Lady beli 35% saham Jemaluang Dairy Valley pada harga RM17.5 juta Image from: Dutch Lady beli 35% saham Jemaluang Dairy Valley pada harga RM17.5 juta liza10/11/2026 - 17:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov – Dutch Lady Milk Industries Berhad merancang mengambil alih 35% pegangan ekuiti dalam Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd (JDV) daripada Kulim (Malaysia) Berhad pada harga RM17.5 juta secara tunai.

 

Menerusi cadangan pengambilalihan itu, Dutch Lady akan memperoleh 14.49 juta saham biasa dalam JDV, sekali gus menjadi pemegang saham dalam projek pembangunan dan pengoperasian ladang tenusu bersepadu di Sungai Ambat, Jemaluang, Mersing, Johor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Dutch Lady berkata perjanjian jual beli saham bersyarat (SSA) berhubung cadangan transaksi itu dimeterai bersama Kulim dan A2 Fresh Holdings Sdn Bhd (A2F) pada 10 November 2026.

 

Pada tarikh sama, Dutch Lady turut memeterai perjanjian usaha sama (JVA) bersama Kulim, A2F dan JDV bagi mengawal selia hubungan antara pihak terlibat selepas cadangan pengambilalihan itu selesai.

 

Perluas akses kepada segmen susu segar

Dutch Lady berkata, JDV berperanan sebagai syarikat utama bagi projek tenusu bersepadu yang bertujuan membangunkan industri pengeluaran susu lembu secara cekap dan mampan, merangkumi aktiviti huluan, pertengahan serta hiliran.

 

Operasi tenusu JDV memberi tumpuan kepada pengeluaran susu segar dipasteur untuk pasaran domestik.

 

Menurut syarikat itu, cadangan pengambilalihan berkenaan akan memberikan akses kepada segmen susu segar serta meningkatkan keupayaannya memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk berkenaan.

 

Selain pelaburan ekuiti, kerjasama itu turut merangkumi perjanjian pembekalan susu mentah daripada JDV kepada Dutch Lady serta pengedaran produk susu siap JDV oleh Dutch Lady, tertakluk kepada terma yang dipersetujui bersama.

 

Sasaran 2,000 lembu tenusu menjelang 2030

Dari segi perkembangan projek, ladang tenusu JDV mula beroperasi pada 2025 dan kini mempunyai kira-kira 1,000 ekor lembu tenusu yang menghasilkan susu.

 

Jumlah itu dijangka meningkat kepada 2,000 ekor menjelang 2030 bagi menyokong pengembangan operasi pengeluaran susu segar.

 

JDV turut merancang membina kemudahan pengeluaran yang mempunyai kapasiti tahunan antara 16 juta hingga 20 juta liter susu dipasteur menjelang 2027.

 

Dutch Lady menjangkakan cadangan pengambilalihan itu menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan pada masa hadapan, sekali gus meningkatkan nilai kepada pemegang saham dalam jangka panjang.

 

Sediakan jaminan korporat RM24 juta

Sementara itu, selain bayaran tunai RM17.5 juta, Dutch Lady akan menyediakan jaminan korporat sebanyak RM24 juta kepada MBSB Bank Berhad.

 

Jaminan itu mewakili bahagian berkadar dengan pegangan ekuiti 35% Dutch Lady dalam JDV bagi kemudahan pembiayaan berjangka Islam bernilai RM68 juta yang digunakan untuk keperluan perbelanjaan modal projek berkenaan.

 

Syarikat itu berkata, harga pembelian RM17.5 juta ditentukan berdasarkan rundingan antara pembeli dan penjual yang bersetuju secara sukarela, dengan penilaian ekuiti JDV dibuat menggunakan kaedah aliran tunai diskaun (discounted cash flow).

 

Penilaian itu mengambil kira rancangan perniagaan JDV, unjuran aliran tunai masa hadapan, pembangunan dan pengembangan projek tenusu, jumlah pengeluaran susu yang dijangka serta prospek pertumbuhan syarikat.

 

Cadangan transaksi itu tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk kelulusan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Kerajaan Negeri Johor dan MBSB Bank Berhad, selain pelaksanaan perjanjian berkaitan antara pihak terlibat. Jika semua syarat dipenuhi, urus niaga itu dijangka selesai pada suku pertama 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved