sarah23/10/2026 - 17:56 Gambar dari laman web Taman Perindustrian Agropolis Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt - DXN Holdings Bhd merancang perbelanjaan modal sehingga RM500 juta bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2027 untuk memperluas kapasiti pengeluaran di lima negara, selain meningkatkan rangkaian kilangnya di seluruh dunia daripada 14 kepada 21 buah.
Syarikat pengeluar produk kesihatan dan kesejahteraan itu berkata, perbelanjaan berkenaan meliputi pengembangan kemudahan pengeluaran di Malaysia, Brazil, Maghribi, Peru dan Bolivia, pembangunan aktiviti perladangan serta usaha memperkukuh pasaran baharu, khususnya di Afrika dan Eropah.
Menurut DXN, pembangunan ladang di Bolivia, Brazil dan Malaysia turut menjadi sebahagian daripada strategi meningkatkan jaminan bekalan bahan mentah, sejajar dengan model perniagaannya yang mengintegrasikan aktiviti penanaman, pengeluaran dan pengedaran produk.
Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan itu, DXN telah memulakan pembinaan kilang pertamanya di Afrika Utara, bertempat di Meknes, Maghribi, selepas memperoleh kelulusan projek dan permit pembinaan daripada pihak berkuasa negara berkenaan.
Kilang yang dibangunkan di kawasan seluas 80,765 meter persegi di Taman Perindustrian Agropolis itu dijangka mewujudkan kira-kira 250 peluang pekerjaan serta menghasilkan produk berasaskan Spirulina dan Ganoderma untuk pasaran Afrika Utara dan Eropah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DXN, Prajith Pavithran berkata, kemudahan tersebut akan menjadi hab pengeluaran serantau yang turut melengkapi operasi kilang sedia ada di Timur Tengah, sekali gus membolehkan syarikat membekalkan produk lebih dekat kepada pasaran sasaran.
“Kilang pengeluaran pertama kami di Afrika Utara merupakan langkah besar dalam pertumbuhan global DXN, dan Maghribi memainkan peranan penting dalam usaha kami memenuhi keperluan pasaran Afrika Utara, Eropah dan Timur Tengah pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai status projek Maghribi, DXN menjelaskan bahawa memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikatnya, Dexin Morocco SA, dengan dua kementerian negara itu telah tamat tempoh pada 2 Oktober 2026 selepas memenuhi tujuan asalnya sebagai rangka kerja pelaburan. Syarikat kini sedang memuktamadkan perjanjian pelaburan dengan kerajaan Maghribi bagi menetapkan subsidi dan insentif yang berkaitan.
Prajith menegaskan bahawa tamatnya tempoh MoU itu bukan halangan kepada projek kerana pembinaan telah bermula, manakala kerjasama dengan pihak berkuasa Maghribi diteruskan bagi memuktamadkan perjanjian tersebut. Beliau berkata, pengeluaran lebih dekat dengan pasaran pengguna dijangka membantu memendekkan rantaian bekalan, mengurangkan kos dan meningkatkan kawalan kualiti.
Di Afrika, Maghribi merupakan pasaran terbesar DXN, yang turut mempunyai pasaran di Mauritania, Nigeria, Afrika Selatan, Kenya, Mesir dan Ethiopia. Syarikat itu juga telah memulakan operasi di Algeria, Ghana dan Zambia, dengan Tunisia dikenal pasti sebagai pasaran seterusnya dalam strategi pengembangannya.- DagangNews.com





