Penggabungan Ekovest-Knusford gagal dimuktamadkan, perjanjian RM450 juta terbatal

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2025 • 11:52 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penggabungan Ekovest-Knusford gagal dimuktamadkan, perjanjian RM450 juta terbatal

image is not available

29/07/2025 - 11:52

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Julai – Cadangan penggabungan antara Ekovest Bhd dan Knusford Bhd tidak diteruskan selepas perjanjian induk yang telah tiga kali dilanjutkan, tamat pada 27 Julai lalu tanpa sebarang persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak.

Kedua-dua syarikat dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia berkata, tempoh sah perjanjian telah tamat pada 27 Julai tanpa sebarang lanjutan masa baharu atau pengumuman lanjut mengenai status rundingan.

Penggabungan yang dicadangkan itu melibatkan pengambilalihan Ekovest Construction Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Ekovest, oleh Knusford menerusi penerbitan saham baharu pada harga 60 sen sesaham, dengan nilai keseluruhan urus niaga dianggarkan sekitar RM450 juta.

Ekovest sebelum ini menjelaskan langkah itu bertujuan menyusun semula aset pembinaan milik Tan Sri Lim Kang Hoo, yang merupakan pemegang saham utama dalam kedua-dua syarikat, di bawah satu entiti bagi mengelakkan transaksi pihak berkaitan dan menjana sinergi operasi.

Beliau kini memegang 28.01% dalam Ekovest dan 33.15% dalam Knusford, selain merupakan Pengerusi Eksekutif Ekovest.

Anaknya, Lim Chen Herng, pula merupakan Pengarah Eksekutif Knusford.

Pada Jumaat lalu, Ekovest turut mengumumkan lanjutan tempoh selama sebulan sehingga 29 Ogos untuk memuktamadkan pembelian 70% kepentingan dalam Credence Resources Sdn Bhd pada harga RM1.15 bilion.

Cadangan pengambilalihan itu diumumkan pada hari yang sama dengan pengumuman cadangan penggabungan Ekovest-Knusford.

Credence Resources memiliki 63.13% saham dalam Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH), yang merupakan pemegang utama dalam Iskandar Waterfront City Bhd dengan pegangan sebanyak 34.29%.

Pemegang saham utama Credence ialah Lim Kang Hoo (90%), Tan Sri Lim Keng Cheng (5%) dan Datuk Lim Hoe (5%). - DagangNews.com

standard