ECERDC lepasi sasaran pelaburan tahunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, catat RM10.3 bilion setakat Oktober

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 4:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECERDC lepasi sasaran pelaburan tahunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, catat RM10.3 bilion setakat Oktober Image from: ECERDC lepasi sasaran pelaburan tahunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, catat RM10.3 bilion setakat Oktober liza29/10/2026 - 16:29 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mencatatkan pelaburan direalisasi berjumlah RM10.3 bilion di wilayah pentadbirannya dalam tempoh 10 bulan pertama 2026, melepasi sasaran tahunan sebanyak RM10 bilion.

 

Pelaburan itu meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang serta daerah Mersing dan Segamat di Johor yang menyediakan kira-kira 8,000 peluang pekerjaan iaitu dua kali ganda daripada sasaran sebanyak 4,000 pekerjaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Syamsul Farizz Nadzeri berkata penciptaan pekerjaan mencerminkan perkembangan peluang ekonomi di seluruh wilayah, selain menunjukkan kepentingan kerjasama dengan pelabur, kerajaan dan pemain industri.

 

Beliau berkata, ECERDC akan terus memudah cara pelaburan bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan dapat membuka peluang ekonomi kepada penduduk di Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

 

Terengganu catat pelaburan tertinggi

Terengganu merekodkan pelaburan direalisasi sebanyak RM4.8 bilion, disokong antaranya oleh peluasan Pelabuhan Kemaman bernilai RM2 bilion oleh Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad serta pembangunan ladang solar terapung bernilai RM1.9 bilion oleh TNB Power Generation Sdn Bhd.

 

Sektor pembuatan turut menyumbang RM600 juta, termasuk pelaburan dalam pengeluaran keluli bersalut dan bersadur serta komponen automotif.

 

Di Segamat, Johor, pelaburan direalisasi berjumlah RM3.3 bilion, didorong oleh pembangunan loji solar hibrid bernilai RM3.3 bilion oleh Lestra Hexa JV Sdn Bhd.

 

Selain itu, Infinity Landbridge Express Sdn Bhd sedang melaksanakan pelaburan RM30 juta bagi mengaktifkan semula Pelabuhan Darat Segamat (SIP) sebagai hab logistik berasaskan rel di selatan Semenanjung Malaysia.

 

Kemudahan itu dijangka mampu mengendalikan sehingga 6,000 unit bersamaan kontena dua puluh kaki (TEU) sebulan, sekali gus menyokong pergerakan kargo yang lebih cekap dan mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan jalan raya.

 

Sementara itu, Pahang merekodkan pelaburan direalisasi RM1.7 bilion, termasuk pembangunan pusat pelancongan bersepadu bernilai RM568 juta oleh King's Park Development Sdn Bhd, kemudahan pembuatan sucralose bernilai RM400 juta oleh Jinhe Nutrition (Malaysia) Sdn Bhd dan ladang durian bernilai RM274 juta oleh Upayapadu Resources Sdn Bhd.

 

Kelantan pula merekodkan pelaburan direalisasi RM600 juta, memenuhi sasaran negeri berkenaan. Antara projek utamanya ialah pembangunan solar berskala besar berkapasiti 99.9 megawatt arus ulang-alik (MWac) bernilai RM294.5 juta oleh Samaiden Legasi Timur Sdn Bhd.

 

Projek lain termasuk perladangan bernilai RM88.5 juta oleh DXN Biogreen Sdn Bhd serta kemudahan penanaman, pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengkomersialan buah-buahan serta sayur-sayuran bernilai RM48 juta oleh Song Lin Fresh Fruit Hub Sdn Bhd.

 

Dua MoU perluas kerjasama pelaburan

ECERDC turut memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS) dan Infinity bagi menyokong pelaburan serta pembangunan industri di wilayah berkenaan.

 

MoU dengan TGAS menyediakan rangka kerja kerjasama untuk mempromosikan dan memudah cara pelaburan di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas, Pahang yang menyokong usaha menarik pelabur dan menggalakkan pembangunan industri.

 

Sementara itu, MoU dengan Infinity memberi tumpuan kepada penerokaan peluang pelaburan dan pengangkutan di Pelabuhan Darat Segamat. ECERDC akan menyokong usaha berkenaan melalui pemudahcaraan pelaburan, penyelarasan antara agensi serta penglibatan pemain industri.

 

Projek infrastruktur catat kemajuan

Dalam perkembangan berkaitan, Projek Jambatan Palekbang–Kota Bharu dan Taman Perindustrian Tok Bali di Kelantan masing-masing mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 47% dan 54%, dengan kedua-duanya berjalan mengikut jadual.

 

Di Pahang, Persimpangan Pelabuhan Kuantan diserahkan pada 3 September 2026, manakala kerja infrastruktur utama bagi Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) 3, Fasa 1, Pakej 1 telah siap. Pembangunan MCKIP 3 itu berpotensi menarik pelaburan sehingga RM1.2 bilion.

 

Di Terengganu pula, Promenade Fasa 1 Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Jun 2026 sebagai satu lagi kemudahan yang sedia digunakan oleh orang awam.

 

Syamsul Farizz berkata, ECERDC akan terus memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan komitmen pelaburan kepada pelaburan direalisasi, selain memajukan projek yang dapat meningkatkan daya saing jangka panjang wilayah berkenaan.

 

Beliau berkata, kerjasama lebih erat dengan pelabur dan rakan pembangunan turut diperlukan bagi mempercepat pelaksanaan projek serta memperluas peluang ekonomi yang mampan di seluruh Pantai Timur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved