liza29/07/2026 - 10:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – Ecomate Holdings Berhad menerima tempahan pembelian bernilai RM13.4 juta daripada Gamuda Berhad untuk memperbaharui langganan lesen perisian bagi tempoh tiga tahun menerusi anak syarikat milik 60%, Progressive Computer Systems Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ecomate berkata, tempahan pembelian itu diterima pada Isnin lalu, namun tarikh pelaksanaan kontrak berkenaan masih belum ditetapkan.
"Tempahan pembelian itu adalah bagi langganan lesen perisian oleh Gamuda untuk memastikan kumpulan itu dapat terus menggunakan perisian berkenaan bagi aktiviti kejuruteraan, reka bentuk dan projek," katanya dalam makluman itu.
Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta prestasi kewangan Ecomate sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Segmen ICT Terus Jadi Penyumbang Penting
Selain perniagaan perabot pasang siap yang menjadi teras operasinya, Ecomate turut mengembangkan segmen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menerusi Progressive Computer Systems yang menyediakan penyelesaian teknologi kepada pelanggan korporat.
Segmen itu terus menjadi penyumbang penting kepada kumpulan, terutama ketika perniagaan perabot berdepan permintaan yang lebih perlahan di beberapa pasaran luar negara.
Bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026, keuntungan bersih Ecomate susut 95.7% kepada RM68,000 berbanding RM1.47 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Penyusutan itu berpunca daripada jualan perabot yang lebih rendah di pasaran Asia, tidak termasuk Malaysia, dan Australasia, selain peningkatan perbelanjaan operasi.
Bagaimanapun, prestasi lebih lemah dalam segmen perabot berjaya diimbangi oleh pertumbuhan jualan dalam segmen ICT yang membantu meningkatkan hasil kumpulan sebanyak 11.69% kepada RM56.48 juta berbanding RM50.57 juta sebelumnya.
Perkembangan terbaharu itu menunjukkan kepelbagaian sumber pendapatan Ecomate semakin memberi nilai tambah kepada syarikat, dengan segmen ICT dilihat semakin melengkapi perniagaan perabot yang menjadi teras operasinya. - DagangNews.com





