amree29/07/2026 - 17:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – OB Holdings Berhad mencatatkan pertumbuhan hasil yang memberangsangkan kira-kira 22.9% kepada sebanyak RM67.02 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (FYE26).
Seiring dengan pertumbuhan pendapatan tersebut, syarikat turut merekodkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM8.66 juta bagi tempoh yang sama, berbanding RM4.58 juta pada tahun kewangan 2025.
Prestasi ini didorong pemenuhan tempahan yang lebih tinggi daripada pelanggan sedia ada dan baharu dalam segmen perkhidmatan pembuatan, serta margin semakin baik menerusi pelbagai produk baharu.
"Selain itu, keuntungan diperkukuh oleh langkah kawalan kos dan ketiadaan kos penyenaraian dialami pada FY25 berkaitan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat," kata OB Holdings kepada Bursa Malaysia.
Ujarnya, hasil bagi suku keempat FY26 pula meningkat 15.51% kepada RM18.40 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) bertambah 45.35% kepada RM2.5 juta berbanding suku yang sama tahun lalu.
Sementara itu, segmen perkhidmatan pembuatan kekal sebagai penyumbang utama dengan pertumbuhan kira-kira 13.8% dalam 4QFY26, disokong oleh faktor permintaan mampan untuk beberapa produk baharu.

Segmen perdagangan juga menurut OB Holdings, menunjukkan berlaku peningkatan secara drastik sebanyak 75.76% susulan usaha perluasan pangkalan pelanggan yang dilaksanakan kumpulan sepanjang suku itu.
"Justeru Lembaga Pengarah mencadangkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.2 sen sesaham bagi FYE 2026, dengan tarikh kelayakan pada 13 Ogos 2026 dan pembayaran pada 27 Ogos 2026," katanya.
Mengulas prospek masa hadapan tambahnya, pembinaan kilang baharu di Serendah, Selangor yang sudah bermula sejak Januari 2024 dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada separuh kedua tahun 2026 (1H26).
Kemudahan tersebut kata OB Holdings, berpotensi meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat melalui pemasanga sejumlah mesin baharu dan makmal pembangunan produk yang diyakini sebagai lebih canggih.
Syarikat menyatakan optimis bersandarkan kepada strategi perniagaan kukuh serta keadaan pasaran menggalakkan bagi industri makanan dan minuman (F&B) diperkaya serta suplemen diet. - DagangNews.com






