EcoWorld, Permodalan Darul Ta’zim tawar pakej tenaga RE dan air kitar semula kepada pelabur di Johor

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 4:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EcoWorld, Permodalan Darul Ta’zim tawar pakej tenaga RE dan air kitar semula kepada pelabur di Johor Image from: EcoWorld, Permodalan Darul Ta’zim tawar pakej tenaga RE dan air kitar semula kepada pelabur di Johor liza16/11/2026 - 16:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov – Eco World Development Group Bhd bekerjasama dengan Permodalan Darul Ta’zim Sdn Bhd (PDT), entiti pelaburan strategik Kerajaan Negeri Johor bagi meneroka pembekalan tenaga elektrik boleh baharu dan air kitar semula kepada penyewa taman perniagaan bersepadunya di Johor.

 

Kerjasama itu bertujuan menawarkan pakej utiliti hijau kepada bakal pengguna di kawasan pembangunan Qantum dan Eco Business Parks, khususnya pengendali pusat data berskala besar serta pemain industri yang memerlukan bekalan tenaga dan air mampan bagi menyokong operasi serta sasaran kelestarian masing-masing.

 

EcoWorld berkata, PDT yang turut bertindak sebagai agensi pelaksana Dasar Pembangunan Hijau Johor 2030 akan menyelaras pembekalan utiliti berkenaan menerusi syarikat khusus di bawah kumpulannya.

 

PDT selaras pembekalan elektrik, air industri

“Menerusi kerjasama itu, PDT melalui anak syarikatnya, PDT Energy Sdn Bhd (PDTEN) bersama rakan usaha samanya akan menyediakan bekalan elektrik yang dijana daripada projek tenaga boleh baharu berserta sijil tenaga boleh baharu (Renewable Energy Certificates).

 

“Bekalan tersebut akan ditawarkan kepada pengguna yang layak sebagai pengguna hijau (Green Consumers) di bawah Garis Panduan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) serta bakal pengguna lain.

 

“Pada masa sama, Johor Special Water Sdn Bhd (JSW), yang mempunyai hak eksklusif untuk membekalkan air industri di Johor, akan menguruskan pembekalan air mentah, efluen terawat, air kitar semula dan sumber air alternatif untuk kegunaan industri,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagaimanapun, harga dan terma komersial bagi pembekalan utiliti berkenaan masih belum dimuktamadkan dan akan ditentukan menerusi Perjanjian Pembekalan Muktamad yang akan dimeterai kemudian.

 

EcoWorld sasar pengendali pusat data, pemain industri

Sementara itu, EcoWorld akan memasarkan pakej utiliti hijau yang disediakan menerusi syarikat bersekutu PDT kepada rangkaian pengguna hijau dan bakal pelanggan di kawasan pembangunan Quantum serta Eco Business Parks.

 

Kumpulan itu berkata, rangkaian pelanggannya yang semakin bertambah termasuk pengendali pusat data berskala besar yang mempunyai permintaan dan minat mendapatkan bekalan utiliti hijau bagi menyokong keperluan operasi serta sasaran kelestarian mereka.

 

Tertakluk kepada persetujuan pelanggan, EcoWorld turut akan berkongsi maklumat berkaitan profil penggunaan tenaga yang dijangka, ramalan permintaan dan jadual pelaksanaan projek dengan syarikat bersekutu PDT bagi membantu penyediaan serta perancangan infrastruktur utiliti.

 

Pendekatan itu membolehkan penyediaan bekalan tenaga dan air diselaraskan dengan unjuran permintaan sebenar pengguna, selain menyokong usaha meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan mengoptimumkan sumber air dalam sektor perindustrian.

 

Pelaburan diluluskan Johor cecah RM110 bilion pada 2025

EcoWorld berkata, kerjasama sektor awam dan swasta itu bertujuan meningkatkan daya saing Johor sebagai destinasi utama pelaburan langsung asing (FDI), khususnya dalam pasaran pusat data serantau.

 

“Johor merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM110 bilion pada 2025, iaitu jumlah tertinggi berbanding semua negeri di Malaysia, selain mencatat prestasi mengatasi pesaing serantau dalam menarik pelaburan pusat data.

 

“Kelebihan Malaysia termasuk kestabilan dasar dan persekitaran pelaburan yang kondusif, disokong insentif ekonomi bersasar, proses peraturan lebih lancar serta hubungan rentas sempadan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

“Penyelarasan bekalan utiliti hijau berdasarkan keperluan sebenar pengguna turut menyokong usaha Johor menarik pelaburan hijau, menggalakkan penggunaan teknologi dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi, selain memastikan projek perindustriannya disokong kemudahan utiliti yang boleh dipercayai, cekap dan mampan,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved