Bonus RM3,000 untuk penjawat awam Kedah dibayar mulai Disember

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 12:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bonus RM3,000 untuk penjawat awam Kedah dibayar mulai Disember Image from: Bonus RM3,000 untuk penjawat awam Kedah dibayar mulai Disember liza16/11/2026 - 12:42 Gambar - Urus Setia Penerangan Darul Aman Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov – Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM3,000 kepada 5,031 anggota pentadbiran dan penjawat awam Kedah akan mula dibayar pada Disember ini menerusi Belanjawan 2027 dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM15 juta.

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembayaran bantuan itu akan dibuat dalam tiga peringkat, iaitu Disember 2026, Februari 2027 dan Ogos 2027.

 

“Pembayaran pertama pada Disember ini bertujuan membantu penerima membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan baharu manakala pembayaran kedua pula dijadualkan pada Februari 2027 sempena sambutan Aidilfitri dan bayaran terakhir akan dibuat pada Ogos 2027 bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Alor Setar.

 

Menurutnya, pemberian bantuan khas itu merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen dan sumbangan penjawat awam dalam memastikan pentadbiran serta pembangunan Kedah berjalan lancar.

 

Belanjawan Kedah 2027 berjumlah RM1.34 bilion

Belanjawan Kedah 2027 memperuntukkan RM1.34 bilion merangkumi RM940 juta bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM401.28 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan.

 

Kerajaan negeri turut menganggarkan hasil sebanyak RM850 juta bagi 2027, meningkat RM12 juta berbanding RM838 juta yang disasarkan pada 2026.

 

Daripada keseluruhan peruntukan pembangunan, sebanyak RM245 juta disediakan menerusi Kumpulan Wang Pembangunan Negeri yang melibatkan 10 jabatan pelaksana.

 

Selain itu, RM12.53 juta diperuntukkan bagi pembangunan hutan, manakala RM143.75 juta disediakan untuk pembangunan bekalan air.

 

Peruntukan pembangunan bekalan air itu merangkumi RM138.75 juta daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan dan RM5 juta daripada peruntukan kerajaan negeri.

 

Kerajaan negeri turut menyasarkan defisit mengurus sebanyak RM90 juta atau 10.59% pada 2027, berbanding 11.81% pada 2026 dan 12.65% pada 2025.

 

Muhammad Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera pentadbiran negeri, termasuk anggota pentadbiran, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta penjawat awam atas komitmen mereka dalam memastikan agenda pembangunan Kedah terus dilaksanakan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved