EcoWorld, SD Guthrie dan NS Corporation jalin kerjasama strategik bangunkan taman perindustrian RM3 bilion di Negeri Sembilan

21/05/2025 - 10:15
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 21 Mei – Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), SD Guthrie Bhd dan NS Corporation Sdn Bhd (NS Corp) memeterai perjanjian pegangan saham bagi membangunkan Eco Business Park 7 (EBP 7) di Negeri Sembilan.
Perjanjian itu menetapkan pegangan saham dalam Eco Business Park 7 Sdn Bhd, iaitu kenderaan tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan bagi melaksanakan projek berkenaan.
EcoWorld memegang 55% saham, diikuti anak syarikat milik penuh SD Guthrie iaitu SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd (SDGLV) 30%, manakala NS Corp memegang baki 15%.
Kerjasama itu susulan perjanjian jual beli pada 18 April 2025 selepas MoU ditandatangani pada 18 Disember 2024.
Perjanjian melibatkan pengambilan tanah pegangan bebas seluas 483.47 hektar di Jimah, Port Dickson menerusi SPV berkenaan.
Tanah itu terletak dalam Parcel C di bawah Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dan akan dibangunkan sebagai taman perindustrian bersepadu dengan hab komersial.
Eco World Project Management Sdn Bhd bertindak sebagai pemaju utama.
EBP 7 dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.95 bilion.
Projek itu akan mendapat akses ke Lebuhraya Nilai-Labu, dengan menghubungkan kawasan itu seperti KLIA, Pelabuhan Klang, dan Lebuhraya PLUS untuk meningkatkan jaringan logistik dan kesalinghubungan perniagaan.
Pembangunan itu sebahagian daripada inisiatif untuk menyokong pembangunan mampan Negeri Sembilan, menarik pelaburan tempatan dan asing, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, serta menaikkan pertumbuhan ekonomi negeri.
MVV 2.0 dilancarkan pada Disember 2018 meliputi 153,786 hektar di Seremban dan Port Dickson, dengan melibatkan enam zon pembangunan yang menyokong peluasan Greater Kuala Lumpur.- DagangNews.com
standard


