ECRL catat perjalanan hanya 85 minit sehala dari Terminal Gombak ke KotaSAS

7 Oct 2026 • 12:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECRL catat perjalanan hanya 85 minit sehala dari Terminal Gombak ke KotaSAS Image from: ECRL catat perjalanan hanya 85 minit sehala dari Terminal Gombak ke KotaSAS amree07/10/2026 - 12:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt — Perjalanan dari Terminal Bersepadu Gombak, Selangor ke KotaSAS, Pahang menerusi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengambil masa hanya kira-kira 85 minit sehala, perkembangan yang menunjukkan projek itu semakin hampir memasuki fasa operasi.

 

Catatan berkenaan direkodkan ketika dua jawatankuasa Lembaga Pengarah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengadakan mesyuarat di dalam 'Comprehensive Inspection Train' (CIT) ECRL bagi menilai sendiri prestasi sistem sepanjang perjalanan dua hala tersebut.

 

Menurut MRL dalam kenyataan, perjalanan pulang dari KotaSAS ke Gombak turut mengambil masa kira-kira 85 minit, sekali gus memberikan gambaran positif awal mengenai tempoh perjalanan sebenar tren apabila perkhidmatan ECRL itu mula beroperasi kelak.

 

"Mesyuarat dalam tren berkenaan turut membolehkan ahli-ahli jawatankuasa menilai perkembangan semasa projek dalam keadaan operasi sebenar, ketika ECRL kini berada dalam fasa kritikal peralihan daripada pembinaan kepada operasi," jelas operator rel itu.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Sri Darwis Abdul Razak berkata, catatan 85 minit tersebut merupakan perkembangan positif dalam proses pengujian dan kesiapsiagaan ECRL sendiri.

 

Ujarnya, tumpuan MRL bukan hanya kepada kelajuan atau tempoh perjalanan, sebaliknya memastikan keseluruhan sistem ECRL adalah selamat, boleh dipercayai dan benar-benar bersedia sebelum perkhidmatan berkenaan dibuka kepada orang ramai.

 

ECRL_DagangNews2026
AHLI-AHLI jawatankuasa Lembaga MRL menunjukkan tanda bagus ketika bermesyuarat di dalam tren CIT ECRL sepanjang perjalanan dua hala dari Gombak, Selangor ke KotaSAS, Pahang.

 

Di samping itu, Jawatankuasa Kewangan dan Teknikal serta Jawatankuasa Audit, Risiko dan Tadbir Urus Lembaga MRL berpeluang mengadakan mesyuarat masing-masing di dalam CIT sepanjang perjalanan Gombak-KotaSAS sepanjang 6 Oktober 2026.

 

"Pendekatan unik itu turut mencerminkan usaha MRL dalam memperkukuh pengawasan Lembaga Pengarah secara langsung di lapangan, khususnya ketika projek memasuki peringkat akhir sebelum operasi," tambah kenyataan berkenaan.

 

MRL berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan proses pengujian dan pentauliahan bagi memastikan semua komponen sistem ECRL memenuhi keperluan keselamatan, teknikal serta kawal selia.

 

Pada masa sama, persediaan operasi akan terus dipertingkatkan bagi memastikan sistem kereta api itu mampu memberikan perkhidmatan yang selamat dan berkesan kepada pengguna apabila mula beroperasi.

 

Dengan catatan perjalanan itu, MRL berkata perkembangan tersebut menjadi satu lagi petunjuk positif terhadap tahap kesiapsiagaan ECRL sebelum perkhidmatan dibuka kepada orang ramai. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved