
SHAH ALAM, 7 OKT: Perjalanan dari Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak ke Stesen ECRL KotaSAS, Pahang mengambil masa kira-kira 85 minit sekali gus menunjukkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) semakin menghampiri fasa operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata catatan itu direkodkan menerusi perjalanan dua hala menggunakan Comprehensive Inspection Train (CIT) ECRL, yang turut menunjukkan perkembangan positif dalam proses pengujian sistem dan kesiapsiagaan projek.
Katanya, perjalanan itu memberi peluang kepada ahli Lembaga Pengarah MRL untuk melihat dan menilai sendiri prestasi sistem ECRL ketika projek beralih daripada pembinaan kepada operasi.
"Catatan perjalanan 85 minit dari Gombak ke KotaSAS satu perkembangan yang sangat positif. Pada masa sama, ahli lembaga berpeluang melihat dan merasai sendiri prestasi ECRL sambil melaksanakan tanggungjawab mereka dari sudut kewangan, teknikal, audit, risiko dan tadbir urus," katanya dalam kenyataan.
Darwis berkata, penilaian itu dibuat menerusi dua jawatankuasa Lembaga Pengarah MRL, iaitu Jawatankuasa Kewangan dan Teknikal serta Jawatankuasa Audit, Risiko dan Tadbir Urus Lembaga.
Kedua-dua jawatankuasa berkenaan mengadakan mesyuarat masing-masing di dalam tren sepanjang perjalanan dari Gombak ke KotaSAS, termasuk perjalanan pulang yang turut mengambil masa kira-kira 85 minit.
Menurutnya, tahap kesiapsiagaan ECRL bukan hanya diukur berdasarkan kelajuan atau tempoh perjalanan, sebaliknya turut melibatkan aspek keselamatan, kebolehpercayaan serta keupayaan keseluruhan sistem dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.
"Ini penting kerana kita kini berada pada fasa kritikal peralihan daripada pembinaan kepada operasi. Fokus kita bukan semata-mata kepada kelajuan atau masa perjalanan, tetapi memastikan keseluruhan sistem selamat, boleh dipercayai dan benar-benar bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," katanya.
MRL akan terus mempergiat proses pengujian dan pentauliahan serta persediaan operasi bagi memastikan keseluruhan sistem ECRL memenuhi keperluan keselamatan, teknikal dan kawal selia sebelum perkhidmatan dibuka kepada orang ramai.
Penglibatan ahli Lembaga Pengarah dalam CIT itu turut mencerminkan pendekatan MRL untuk memperkukuh pemantauan secara langsung di lapangan, khususnya ketika projek berkenaan menghampiri fasa pengoperasian.






