
KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sedang berusaha untuk memulakan operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) seawal pertengahan Disember ini, berikutan ujian dan pentauliahan oleh Comprehensive Inspection Train (CIT) berjalan lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata keputusan ujian yang positif memberikan keyakinan kepada syarikat itu bagi menyahut cabaran Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk membuka ECRL kepada orang ramai lebih awal berbanding sasaran asal pada Januari 2027, bersempena dengan cuti sekolah.
Beliau berkata CIT, yang dikenali dengan jalur kuning tersendiri dan digelar “doktor kuning” atas peranannya memeriksa dan mengenal pasti potensi masalah di sepanjang laluan kereta api, memulakan perjalanan ujian dari Kuantan ke Kota Bharu bulan lepas, dan kini memasuki fasa kedua dari Kuantan ke Gombak.
“Kami kini dalam fasa kedua dari Kuantan ke Gombak dan keputusan ujian adalah positif. Kami menerima cabaran kerajaan untuk membuka operasi pada Disember dan usaha kami kini tertumpu ke arah sasaran itu,” katanya kepada pemberita semasa perjalanan CIT dari Gombak ke Bandar Pelabuhan Kuantan, hari ini.
Darwis berkata Site Acceptance Test (SAT) telah selesai, manakala System Integration Test (SIT) kini siap kira-kira 80 peratus, selain ujian kelajuan berperingkat dari Kuantan ke Kota Bharu mencatat keputusan positif.
Beliau berkata ujian akan diteruskan, dengan kereta api dijangka beroperasi sepenuhnya dari Kota Bharu ke Gombak dan sebaliknya menjelang akhir bulan ini, diikuti dengan Fault-Free Run (FFR) pada Oktober.
Perjalanan khas CIT itu melibatkan pengamal media dari Gombak ke Bandar Pelabuhan Kuantan hari ini mengambil masa kira-kira 90 minit termasuk merentasi Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer (km) pada kelajuan purata 160 km sejam.
Darwis berkata MRL akan terus mendapatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk mempermudah pembukaan pada tempoh yang disasarkan, susulan kemajuan keseluruhan ECRL telah mencecah 95.41 peratus setakat Ogos, manakala Fasa 1 mencapai 97.65 peratus.
Berhubung tambang kereta api itu, Darwis berkata keputusan belum dibuat setakat ini, dan kadarnya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan, dengan kerajaan dijangka memastikan tambang yang dikenakan berpatutan.
Apabila beroperasi kelak, ECRL dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Kota Bharu dengan Gombak kepada kira-kira empat jam, berbanding kira-kira tujuh jam melalui jalan darat. Fasa 2 yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap menjelang Disember 2027, dengan operasi dijadualkan bermula pada Januari 2028.
Sementara itu, Pengarah Projek dan Penasihat Kanan China Communications Construction Company ECRL Sdn Bhd (CCCECRL) Kong Qi berkata ujian ECRL setakat ini merekodkan keputusan positif, dengan lebih 40 ujian CIT dilakukan dan 12 ujian kereta api kargo diselesaikan.
Beliau berkata SIT, yang bermula pada 21 Ogos, meliputi 10 kawasan utama termasuk terowong, jambatan, subgred dan landasan, bekalan kuasa tarikan, komunikasi, sistem maklumat perkhidmatan penumpang, keserasian elektromagnetik dan pembumian bersepadu.
“Kami menguji setiap selekoh dan kestabilan kereta api. Kami mendapati beberapa parameter memerlukan penyelarasan, seperti ketika membelok, namun hal itu telah dibaiki. Setakat ini, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.
Kong berkata CIT telah menyelesaikan ujian peningkatan kelajuan hingga 176 km sejam pada bahagian pertama, dengan ujian pada bahagian selebihnya sedang berjalan sebelum projek itu beralih ke ujian Automatic Train Protection (ATP) dan isyarat, diikuti dengan FFR.
CIT dilengkapi dengan sistem pemeriksaan khusus yang membolehkan jurutera menilai keadaan landasan, prestasi kereta api dan sistem kereta api di bawah keadaan yang mencerminkan operasi sebenar.
Pemeriksaan merangkumi kejuruteraan landasan, bekalan kuasa tarikan, serta sistem isyarat dan komunikasi yang mengumpul data tentang geometri landasan, profil rel, interaksi roda-rel, dinamik gerabak, prestasi pantograf dan katenari, termasuk isyarat dan telekomunikasi yang membolehkan jurutera mengenal pasti dan membetulkan potensi masalah semasa ujian dan pentauliahan.
Sebagai sebahagian daripada SIT, CIT menjalankan pemeriksaan dan pengumpulan data pada masa nyata di sepanjang jajaran ECRL, menumpukan integrasi dan koordinasi sistem utama kereta api termasuk isyarat, komunikasi, bekalan kuasa tarikan dan talian atas.






