
MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Enzo Maresca akui lega mampu melepasi detik sukar ketika mengatasi Brighton 4-3 pada penentuan penalti dalam aksi Piala Liga Inggeris, awal pagi semalam.
Aksi sebenar, kedua-dua pasukan terikat 2-2 dan Maresca juga membayangkan pasukannya seperti bernasib baik kerana tidak pernah berlatih atau pun beri tumpuan khusus untuk menghadapi sepakan penalti.
“Sejak saya tiba di sini, kami tidak pernah berlatih (penalti). Semua pemain adalah pemain yang bagus, namun kegagalan sepakan penalti sememangnya boleh dan sentiasa berlaku.
“Sudah pasti saya gembira kerana perlawanan berlangsung mengikut apa yang dirancang. Kami melakukan penggiliran, jadi saya berpuas hati dengan setiap pemain yang diturunkan,” katanya.
Terdahulu, The Citizens menyerlahkan sikap positif apabila dua kali bangkit untuk menyekat Brighton meraih kemenangan mudah selepas mereka membuka jaringan menerusi Malick Yalcouyé sebelum kembali disamakan oleh Mateo Kovacic.
Georginio Rutter sekali lagi meletakkan Brighton di depan, namun kelebihan itu kembali disamalan oleh Vitor Reis sekali gus mengheret aksi ke penentuan penalti.
Maresca juga menghamburkan pujian kepada penjaga gol, Gerónimo Rulli yang tampil cemerlang termasuk menafikan dua sepakan penalti Brighton menerusi Yasin Ayari dan Ivaylo Ivanov.
“Secara keseluruhan, dia (Rulli) beraksi baik. Tidak boleh diragukan lagi, dia bekerja dengan cukup baik dan memahami peranan yang dipikulnya,” katanya. – AGENSI
The post EFL: City lega biarpun kurang persiapan appeared first on Kosmo Online.






