sarah25/11/2026 - 14:58 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov - EG Industries Berhad (EG Industries) menyasarkan kapasiti pengeluaran tambahan di Kilang Pintar 4.0 (PG2) di Batu Kawan, Pulau Pinang mula beroperasi pada awal 2027 bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat daripada industri kecerdasan buatan (AI) dan pusat data berskala besar.
Kumpulan itu dalam kenyataan hari ini berkata, kerja pembesaran tingkat dua kilang berkenaan sedang diteruskan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran modul optik berkelajuan tinggi 800G, selain menyediakan kemudahan bagi pengeluaran modul optik generasi baharu 1.6T pada masa hadapan.
Berdasarkan laporan kewangan suku pertama berakhir 30 September 2026, komitmen modal kumpulan yang telah diluluskan dan dikontrakkan bagi pembinaan bangunan kilang meningkat 42.1% kepada RM87.83 juta berbanding RM61.81 juta pada 30 Jun 2026.
Dalam tempoh sama, perbelanjaan bagi pemerolehan hartanah, loji dan peralatan meningkat lebih empat kali ganda kepada RM70.3 juta berbanding RM16.07 juta pada suku pertama tahun kewangan sebelumnya.
Amerika Syarikat kekal pasaran eksport terbesar
Ketua Pegawai Eksekutif EG Industries, Datuk Alex Kang berkata, kumpulan terus memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran produk teknologi bernilai tinggi bagi memenuhi keperluan pelanggan global, dengan Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pasaran eksport terbesarnya, diikuti Thailand, Eropah, Filipina dan negara Asia Tenggara lain.
Kumpulan turut menjangkakan baki penghantaran produk di bawah tempahan pembelian yang telah disahkan daripada pelanggan sedia ada di AS akan terus menyokong pendapatan bagi tahun kewangan 2027 (FY27).
EG Industries juga sedang meneroka peluang membekalkan suis rangkaian terbuka berprestasi tinggi kepada sebuah lagi penyedia penyelesaian rangkaian global berpangkalan di AS, namun menegaskan surat hasrat (LOI) yang diterima itu masih belum merupakan tempahan pembelian yang disahkan.
Selain itu, rancangan pengembangan kemudahan pembuatan di Thailand serta pengambilalihan 91.5% kepentingan dalam Jyoto Works (M) Sdn Bhd pada harga RM2 juta dijangka memperkukuh kehadiran serantau dan keupayaan pembuatan komponen kumpulan.
Keuntungan teras meningkat 40.4% kepada RM33.6 juta
Bagi suku pertama FY27, EG Industries mencatatkan peningkatan keuntungan teras sebanyak 40.4% kepada RM33.6 juta berbanding RM23.9 juta setahun sebelumnya, didorong campuran jualan produk yang lebih menguntungkan dan peningkatan hasil pengeluaran.
Pendapatan kumpulan meningkat 23.3% kepada RM424.7 juta berbanding RM344.4 juta, disokong sumbangan lebih tinggi daripada jualan modul optik dan produk berkaitan jalur lebar tanpa wayar, manakala keuntungan bersih meningkat 26.5% kepada RM30.7 juta.
Bagaimanapun, keuntungan bersih menyusut 33.1% berbanding suku sebelumnya, terutamanya disebabkan keuntungan sekali sahaja daripada pengambilalihan syarikat yang lebih rendah serta kesan pertukaran mata wang asing yang kurang memihak kepada kumpulan, manakala keuntungan teras meningkat 10.7%.
EG Industries turut mengumumkan dividen saham interim bagi FY26 pada kadar satu saham perbendaharaan bagi setiap 150 saham biasa yang dipegang, dengan tarikh kelayakan pada 5 Januari 2027 dan tarikh pindahan saham pada 2 Februari 2027. - DagangNews.com






