SHAH ALAM - Ejek-mengejek dipercayai menjadi punca seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dipukul di sebuah sekolah menengah di sini sehingga berisiko mengalami masalah pendengaran.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada aktiviti ejek-mengejek antara pelajar yang berlaku sebelum ini.
"Menurut keterangan yang ada sehingga kini, puncanya adalah berkaitan dengan aktiviti ejek-mengejek yang berlaku sebelum ini antara kenalan satu sekolah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang ibu, Nurhaswaty Zamani, 43, mendakwa anak tunggalnya, Adryz Adrian, 15, mengalami kecederaan pada kepala dan telinga selepas dipercayai menjadi mangsa buli serta dipukul di sebuah sekolah menengah di Shah Alam.
Mangsa didakwa mengalami gangguan pendengaran selepas kejadian dan berdepan risiko kehilangan pendengaran, selain menerima rawatan serta pemeriksaan susulan.
Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada pengadu dan mangsa.
"Setakat ini, kita telah menerima laporan polis yang dibuat oleh pengadu dan juga mangsa.
"Siasatan masih dijalankan, rakaman percakapan serta keterangan telah diambil dan seorang suspek telah ditangkap serta direman sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara kertas siasatan dilengkapkan," katanya.
Shazeli berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan masing-masing berkaitan ugutan serta menyebabkan kecederaan.
Beliau berkata, suspek berusia 17 tahun itu ditahan di sekolah berkenaan dan merupakan pelajar di sekolah sama dengan mangsa.
"Satu suspek sahaja telah ditahan untuk membantu siasatan.
"Suspek berusia 17 tahun dan kita tidak boleh mengulas banyak kerana semua ini melibatkan individu bawah umur," katanya.
Dalam pada itu, Shazeli berkata, polis masih menunggu laporan rasmi pegawai perubatan bagi mengetahui tahap kecederaan dialami mangsa.
"Siasatan masih berjalan dan kita perlu menunggu laporan rasmi daripada pegawai perubatan," katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.






