Kegiatan seleweng 51,900 diesel bersubsidi tumpas

19 Aug 2026 • 10:17 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kegiatan seleweng 51,900 diesel bersubsidi tumpas

PUCHONG – Taktik menyimpan puluhan ribu liter diesel bersubsidi di sebuah premis dipercayai tanpa lesen atau permit sah terbongkar selepas serbuan pihak berkuasa di sini, awal pagi tadi.

Operasi kira-kira pukul 3.30 pagi itu membawa kepada rampasan 51,900 liter diesel selain penahanan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 64 tahun.

Serbuan menerusi Op Taring Bravo 1 itu dilaksanakan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Bahagian Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, operasi dijalankan hasil risikan dan pemantauan terhadap premis berkenaan yang dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan serta pengendalian minyak diesel bersubsidi.

Mohd. Zaki berkata, pemeriksaan menyeluruh di lokasi yang berterusan sehingga kira-kira pukul 1.30 petang menemukan tujuh tangki skid dan tiga lori tangki yang mengandungi diesel dalam kuantiti besar.

Menurutnya pasukan operasi turut menemukan sebuah pam elektrik bersama hos dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pemindahan diesel di premis berkenaan.

“Secara keseluruhannya, pasukan operasi merampas kira-kira 51,900 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM231,993.

“Nilai keseluruhan rampasan yang merangkumi minyak diesel, tiga buah lori tangki, tujuh buah tangki skid serta peralatan berkaitan dianggarkan berjumlah RM919,022.40,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara rampasan adalah kira-kira 38,000 liter diesel dalam tujuh tangki skid selain masing-masing 10,900 liter, 1,000 liter dan 2,000 liter diesel yang ditemukan di dalam tiga lori tangki.

Mohd. Zaki berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang ditahan dipercayai masing-masing bertindak sebagai penjaga premis dan pemandu lori.

Kedua-dua suspek serta semua barang rampasan kemudian diserahkan kepada KPDN Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan minyak diesel tersebut, kaedah pemerolehan dan pemindahannya, destinasi pengedaran serta kemungkinan penglibatan individu atau pihak lain dalam kegiatan berkenaan.

“Pihak berkuasa juga sedang meneliti dokumen dan rekod berkaitan bagi menentukan tempoh operasi premis tersebut serta mengenal pasti keseluruhan rangkaian yang disyaki terlibat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki, menyimpan atau menjual barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit sah.

Nilai keseluruhan rampasan bagi tempoh tersebut dianggarkan RM315.1 juta. – KOSMO! ONLINE

The post Kegiatan seleweng 51,900 diesel bersubsidi tumpas appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved