Pelajar tunjuk kelucahan melampau terhadap ibu diarah ke Sekolah Henry Gurney

19 Aug 2026 • 4:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelajar tunjuk kelucahan melampau terhadap ibu diarah ke Sekolah Henry Gurney

BATU PAHAT: Seorang pelajar berusia 17 tahun diperintahkan memasuki Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh serta kelucahan melampau terhadap ibu kandungnya.

Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno selepas tertuduh membuat pengakuan itu dan penilaian laporan akhlak dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik tanpa cagaran selama tiga tahun beserta syarat iaitu ibu bapa perlu berhubung dengan pihak sekolah bagi sesi kaunseling atau status disiplin tertuduh.

Selain itu, ibu bapa tertuduh turut dikehendaki melawat tertuduh di sekolah berkenaan sebulan sekali sepanjang tempoh hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan dengan menyuruh ibu kandungnya yang berusia 43 tahun ‘membuat sesuatu’ terhadapnya di sebuah rumah dalam daerah ini pada pukul 5 petang, 1 Jun lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membuat kelucahan melampau terhadap ibunya pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Dia dakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Song Yan. – UTUSAN

The post Pelajar tunjuk kelucahan melampau terhadap ibu diarah ke Sekolah Henry Gurney appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved