Ekonomi Malaysia berkembang 6 peratus pada suku kedua tahun 2026

Business & Finance
14 Aug 2026 • 3:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ekonomi Malaysia berkembang 6 peratus pada suku kedua tahun 2026
Abdul Rasheed (empat dari kanan) ketika membentangkan prestasi ekonomi Malaysia untuk suku kedua 2026 pada Jumaat.FOTO SINAR HARIAN - Asril Aswandi Abd Shukor
Image from: Ekonomi Malaysia berkembang 6 peratus pada suku kedua tahun 2026
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Sri Abdul Rasheed Ghaffour - FOTO SINAR HARIAN - Asril Aswandi Abd Shukor

PERTUMBUHAN ekonomi mengukuh kepada enam peratus pada suku kedua tahun 2026 mengatasi pertumbuhan 5.4 peratus dicatatkan pada suku pertama 2026 didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan serta eksport yang kukuh.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan yang kukuh.

“Pertumbuhan pada tahun 2026 diunjurkan kekal dalam julat unjuran 4 peratus hingga 5 peratus dengan perkembangan terkini mengisyaratkan bahawa pertumbuhan keseluruhan berpotensi mencecah sekitar 5 peratus.

**media[3614938]**

“Walaupun prospek pertumbuhan terus dipengaruhi oleh perkembangan luaran, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran tersebut, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh serta kesediaan dasar,” katanya pada sidang media Prestasi Ekonomi Suku Kedua Tahun 2026 di Sasana Kijang pada Jumaat yang turut dihadiri Ketua Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Siti Asiah Ahmad.

Menurut Abdul Rasheed, di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah akan terus disokong oleh pertumbuhan pendapatan serta pelaksanaan langkah-langkah dasar yang berterusan.

“Sementara itu, aktiviti pelaburan akan dipacu oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, kadar realisasi pelaburan yang diluluskan yang kekal tinggi serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional.

“Dari segi sektor luaran, pertumbuhan pesat eksport didorong terutamanya oleh permintaan yang terus kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) dan pengembangan perkhidmatan yang berterusan, di samping pemulihan eksport gas asli cecair dan produk perkilangan bukan E&E,” katanya.

Dari segi penawaran, pertumbuhan disokong oleh pengembangan sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Pertumbuhan sektor perkhidmatan yang lebih tinggi didorong oleh subsektor berkaitan perniagaan, terutamanya subsektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berikutan peningkatan pengoperasian pusat data.

Pertumbuhan sektor perkilangan yang kukuh pula dipacu oleh kelompok industri berorientasikan eksport, khususnya segmen E&E susulan permintaan tinggi terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Sektor perlombongan dan pengkuarian kembali mencatatkan pertumbuhan positif, mencerminkan pengeluaran gas asli yang lebih tinggi.

Berdasarkan asas suku tahunan yang terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.5% (S1 2026: -0.01%).

Dalam pada itu, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus pada tahun 2026.

Abdul Rasheed berkata, data inflasi terkini dan penunjuk berfrekuensi tinggi terus menunjukkan kenaikan harga pengguna yang sederhana.

“Walaupun tekanan kos luaran susulan konflik di Timur Tengah dijangka memberikan sedikit tekanan menaik kepada harga, kesan keseluruhannya terhadap inflasi pada tahun 2026 dijangka kekal terkawal.

“Langkah dasar dalam negeri seperti subsidi bahan api bersasar serta keadaan permintaan yang stabil dijangka dapat mengehadkan pemindahan kos global yang lebih tinggi kepada harga dalam negeri,” katanya.

Ringgit pula terus disokong asas ekonomi dalam negeri yang kukuh serta momentum pertumbuhan Malaysia yang positif.

Bagi tempoh awal tahun ini hingga 12 Ogos 2026, ringgit terus mencatatkan prestasi yang stabil secara amnya berbanding dolar Amerika Syarikat (-0.9%) serta mata wang rakan dagangan utama Malaysia yang lain (NEER: -1%).

Pada masa hadapan, meskipun faktor luaran akan terus mempengaruhi pergerakan kadar pertukaran, prospek ekonomi Malaysia yang positif di samping pembaharuan struktur yang berterusan dijangka terus menyokong ringgit.

“BNM akan terus memantau rapi perkembangan global dan kekal komited dalam memastikan pasaran pertukaran asing domestik kekal berfungsi dengan teratur,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved