EKONOMI Malaysia berkembang 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 berbanding 5.3 peratus pada suku ketiga tahun lepas, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang berterusan, peningkatan aktiviti pelaburan serta prestasi eksport yang lebih kukuh, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata, pertumbuhan eksport terus mengukuh, dipacu oleh peningkatan eksport produk berkaitan teknologi, merangkumi barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta bukan E&E.
"Dari sudut domestik, perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan dan pertumbuhan pendapatan yang stabil.
"Bagaimanapun, pertumbuhan menjadi sederhana berikutan kesan asas daripada pemberian bantuan tunai yang lebih tinggi pada suku ketiga 2025,” kata BNM dalam satu kenyataan pada Rabu
BNM berkata, akaun semasa mencatatkan lebihan sebanyak RM5.7 bilion pada suku ketiga 2026, manakala pelaburan langsung asing meningkat kepada RM14.3 bilion, disumbangkan oleh pendapatan pelaburan semula yang lebih tinggi.
Sementara itu, penggunaan swasta meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2026, pelaburan awam naik sebanyak 9.4 peratus dan 3.0 peratus, sementara eksport bersih meningkat 5.7 peratus, menurut BNM.
Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus pada suku ketiga 2026, diikuti sektor pembuatan (7.7 peratus), pembinaan (5.9 peratus) dan pertanian (1.4 peratus). Sebaliknya, sektor perlombongan menguncup 6.1 peratus.
Inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.9 peratus pada suku ketiga 2026, manakala inflasi teras terus menyederhana kepada 1.7 peratus.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus, disokong oleh prestasi eksport yang memberangsangkan serta permintaan domestik yang kekal berdaya tahan.
Gabenor, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan melebihi 5.0 peratus pada 2026.
"Melangkah ke hadapan, ekonomi dijangka memasuki 2027 dengan kedudukan yang kukuh, disokong oleh asas ekonomi yang mantap dan prospek ekonomi yang positif,” katanya.
Dalam pada itu, BNM mengunjurkan KDNK berkembang antara 4.2 peratus hingga 5.2 peratus pada 2027.
Menurut bank pusat itu, kedudukan awal ekonomi Malaysia yang kukuh, asas ekonomi yang mantap, langkah-langkah dasar serta dinamisme sektor perniagaan akan terus meningkatkan daya tahan ekonomi dalam menghadapi kejutan luaran.
Abdul Rasheed berkata, pertumbuhan eksport akan terus disokong oleh permintaan global terhadap produk berkaitan teknologi dan komoditi utama, selain sumbangan daripada perkhidmatan pelancongan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Di dalam negara, aktiviti pelaburan dijangka terus berkembang, disokong oleh kemajuan pelaksanaan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam serta pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan.
Sementara itu, perbelanjaan isi rumah dijangka terus mendapat sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, pertumbuhan pendapatan yang stabil serta langkah-langkah yang diumumkan di bawah Belanjawan 2027, katanya.
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal sederhana bagi baki tempoh 2026, dengan inflasi keseluruhan diunjurkan berada dalam julat 1.5 hingga 2.5 peratus bagi tahun ini, selaras dengan jangkaan sebelum ini, menurut BNM.
BNM berkata, inflasi keseluruhan berkemungkinan meningkat secara beransur-ansur menjelang akhir tahun, sebahagiannya mencerminkan kelewatan pemindahan kos input yang lebih tinggi kepada harga pengguna.
"Bagaimanapun, subsidi bahan api bersasar dan keadaan permintaan domestik yang stabil dijangka mengurangkan kesan keseluruhannya,” menurut bank pusat itu.
Bagi 2027, inflasi dijangka meningkat pada awal tahun, mencerminkan kesan bawaan daripada tahun sebelumnya serta pemindahan kos kepada harga pengguna yang tertangguh.
Secara keseluruhan, tekanan inflasi dijangka kekal terkawal, disokong oleh keadaan permintaan domestik yang stabil, menurut BNM. - Bernama






