Ekonomi masa depan tidak lagi bersandarkan sumber asli

Business & Finance
4 Sep 2026 • 7:22 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ekonomi masa depan tidak lagi bersandarkan sumber asli

KUALA LUMPUR: Kemajuan dan kemakmuran ekonomi negara untuk jangka panjang perlu dipacu menerusi penguasaan teknologi tinggi, inovasi baharu, serta pemilikan hak cipta intelek dan penyelesaian khusus.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, nilai kemakmuran negara tidak lagi boleh bersandarkan semata-mata kepada kekayaan sumber asli mahupun kekuatan sektor perindustrian konvensional.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan kelainan secara tegas untuk mengalih fokus pembangunan ekonomi tempatan kepada industri berimpak dan bernilai tinggi.

“Bagi tempoh 15 tahun lalu, kita beruntung kerana dikurniakan pelbagai sumber asli dan berada di trek perindustrian yang betul sehingga dicemburui negara luar. Namun bergerak ke hadapan, nilai kemakmuran sebenar adalah melampaui kekuatan asas tersebut.

“Untuk meraih nilai pulangan ekonomi yang lebih tinggi, kita perlu memberi tumpuan khusus kepada industri bernilai tinggi. Sektor seperti tenaga tidak lagi boleh dilihat secara berasingan, sebaliknya perlu diintegrasikan bagi menyokong sektor termaju seperti ekonomi digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara mengenai Persamaan Kemakmuran: merebut kekayaan melangkaui sumber minyak dan gas sempena Pameran dan Persidangan Gas dan Minyak (OGA) 2026, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, pemain industri tempatan, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), perlu keluar daripada zon selesa dan tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik atau ekosistem Petronas semata-mata.

Beliau turut menggesa pemain tempatan untuk mengeksport kepakaran teknikal serta penyelesaian digital yang dibangunkan di peringkat domestik ke pasaran antarabangsa.

“Keupayaan tenaga kerja dan kepakaran tempatan kita terbukti memenuhi piawaian antarabangsa. Isu utama sekarang adalah bagaimana untuk meningkatkan skala perniagaan dan berani menembusi pasaran luar negara.

“Kunci ketahanan ekonomi seterusnya adalah bagaimana kita meletakkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global yang lebih kompleks menerusi penerimaan teknologi serta inovasi,” katanya. 

Menurutnya, pemain OGSE tempatan selama ini sememangnya memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan dan menjadi sebahagian daripada ekosistem gas dan petroleum Malaysia, dengan Petronas sebagai tunjang utama industri berkenaan.

“Bagaimanapun, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki perlu diterjemahkan kepada keupayaan lebih tinggi, termasuk menghasilkan penyelesaian berasaskan teknologi serta membangunkan ciptaan sendiri yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.

“OGSE Malaysia sepatutnya melihat kepada potensi untuk bukan sekadar memberikan perkhidmatan, tetapi juga menawarkan penyelesaian menggunakan teknologi yang ada serta menghasilkan ciptaan mereka sendiri untuk dipasarkan ke pasaran antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

The post Ekonomi masa depan tidak lagi bersandarkan sumber asli appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved