
KEPALA BATAS: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan kerangka perundangan pendidikan tinggi diteliti secara menyeluruh dan tidak tertumpu kepada kepentingan mahasiswa semata-mata.
Ia sebelum akta baharu digubal bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, hal ini kerana, hanya tujuh daripada keseluruhan 44 Seksyen dalam AUKU sebelum ini berkait dengan mahasiswa, manakala selebihnya merangkumi hal-hal lain seperti urus tadbir dan akademik.
“Jadi, kita kena lihat keseluruhan. Umpamanya, apakah kekangan kepada golongan akademik dan akta-akta yang berkaitan dengannya? Bukan hanya itu, tetapi juga akta-akta lain yang berkaitan sistem pendidikan.
“Ada Akta Pelajaran 1996 (Akta 550), Akta 555 (berkaitan institusi pengajian tinggi swasta), Akta 605 (berkaitan badan berkanun khususnya di universiti awam) dan macam-macam.
“Saya harap, rakyat faham apabila ia (AUKU) tidak ada, kita kena ambil (kira) semua aspek perubahan yang akan kita lakukan,” katanya pemberita selepas merasmikan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam di sini, semalam.
Zambry berkata, KPT menganggap semua pandangan yang dikemukakan berhubung perkara itu penting kerana akta baharu yang akan dikemukakan nanti bakal menjadi akta utama dalam sistem pendidikan tinggi.
Katanya, yang pasti ia akan memberi kesan kepada ekosistem pendidikan tinggi negara.
“Sebuah jawatankuasa telah pun diumumkan dan dibentuk. Itu satu jawatankuasa yang bebas.
“Dalam konteks akta seperti ini, kita perlu mendapat pandangan semua. Tidak semestinya pandangan yang kita mahu sahaja. Kita perlu mendengar (pandangan) semua,” katanya.
Untuk rekod, AUKU sudah tujuh kali dipinda sejak ia diperkenalkan pada 1971 dengan pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.
Selain pindaan pada 2012, AUKU juga dipinda pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009. – MINGGUAN
The post Kerangka pendidikan tinggi diteliti appeared first on Utusan Malaysia.






