
KUALA LUMPUR: Eksperimen merombak gandingan beregu lelaki negara kendalian Herry Iman Pierngadi mula menunjukkan petanda positif apabila dua pasangan baharu, Tee Kai Wun-Yap Roy King dan Man Wei Chong-Soh Wooi Yik, mencipta final sesama sendiri di Korea Masters, semalam.
Lebih menarik, Kai Wun-Roy King muncul sebagai gandingan terbaik apabila menundukkan Wei Chong-Wooi Yik 21-13, 21-18 dalam tempoh 31 minit untuk menghadiahkan gelaran Jelajah Dunia pertama kepada beregu lelaki di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun ini.
Kejayaan itu memberi isyarat bahawa percaturan Herry untuk menguji kombinasi baharu tidak semestinya memerlukan tempoh panjang sebelum menghasilkan keputusan, biarpun Kai Wun-Roy King ketika ini hanya menghuni ranking ke-282 dunia.
Kemenangan mereka turut mengubah sedikit gambaran persaingan dalaman apabila pasangan yang masih baharu digandingkan itu mampu melepasi beberapa cabaran sebelum menewaskan Wei Chong-Wooi Yik, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada BAM dalam menentukan kombinasi terbaik untuk kitaran akan datang.
Pada masa sama, Wei Chong-Wooi Yik tidak boleh dipandang sebagai pasangan yang sekadar menjadi pelengkap kerana Wooi Yik sebelum ini pernah menjuarai Korea Masters pada 2024 bersama Aaron Chia, menjadikan kekalahan di final kali ini satu lagi petunjuk bahawa persaingan mendapatkan tempat utama semakin terbuka.
Bagi Kai Wun-Roy King, kemenangan itu juga hadir ketika Malaysia sebelum ini hanya bergantung kepada pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk menghadiahkan kejuaraan beregu lelaki di Jelajah Dunia musim ini.
Sebelum ini, Sze Fei-Izzuddin muncul juara Indonesia Masters pada Januari dan Terbuka Indonesia pada Jun, manakala Kai Wun-Roy King kini menjadi pasangan BAM pertama tahun ini yang memecahkan kebuntuan untuk membawa pulang gelaran Jelajah Dunia.
Lebih penting, kejayaan di Asan itu memberi Herry satu lagi bukti untuk menilai keberkesanan rombakan yang dilakukannya, terutama apabila dua kombinasi baharu bukan sahaja mampu menyesuaikan diri malah terus menghasilkan final sesama sendiri di pentas Super 300. – UTUSAN
The post Eksperimen Herry mula berhasil appeared first on Utusan Malaysia.




