Jualan Betamek di Hong Kong melonjak 343% kepada RM29 juta, eksport semakin kukuh

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 5:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan Betamek di Hong Kong melonjak 343% kepada RM29 juta, eksport semakin kukuh Image from: Jualan Betamek di Hong Kong melonjak 343% kepada RM29 juta, eksport semakin kukuh sarah11/11/2026 - 17:54 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov - Betamek Berhad (Betamek) mencatatkan lonjakan jualan di Hong Kong sebanyak 343.2% kepada RM29.03 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2026, berbanding RM6.55 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan pertumbuhan kukuh pasaran eksport kumpulan.

 

Pengeluar komponen elektronik automotif itu berkata, jualan eksport kini menyumbang kira-kira 19.3% kepada jumlah hasil kumpulan, dengan peningkatan jualan luar negara menjadi antara pemacu utama pertumbuhan perniagaannya.

 

Selain Hong Kong, pasaran domestik turut mencatatkan pertumbuhan apabila hasil jualan di Malaysia meningkat kepada RM130.12 juta daripada RM120.62 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Perluas pasaran dan kurangkan kebergantungan pelanggan

Betamek berkata, kumpulan terus memperluas asas pelanggan dan penawaran produk dalam sektor elektrik dan elektronik bukan automotif sebagai sebahagian daripada strategi mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana pelanggan tunggal atau segmen pasaran tertentu.

 

Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, kumpulan memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan teknologi dan mengekalkan piawaian pembuatan tinggi bagi merebut peluang daripada penggunaan teknologi kenderaan yang semakin canggih.

 

“Keutamaan ini akan menyokong keupayaan kami untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang dan mewujudkan nilai yang mampan dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.

 

Hasil meningkat, margin keuntungan berdepan tekanan

Dari segi prestasi kewangan, Betamek mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 24.7% kepada RM161.31 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2027 berbanding RM129.35 juta sebelumnya, didorong peningkatan jualan eksport sebanyak RM22.46 juta dan jualan domestik sebanyak RM9.49 juta.

 

Keuntungan sebelum cukai meningkat 4.3% kepada RM20.50 juta daripada RM19.66 juta, namun keuntungan selepas cukai menyusut kepada RM15.30 juta berbanding RM15.78 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Bagi suku kedua berakhir 30 September 2026, hasil meningkat 12.4% kepada RM81.49 juta daripada RM72.48 juta, tetapi keuntungan sebelum cukai merosot kepada RM9.29 juta berbanding RM12.50 juta, berikutan margin keuntungan kasar lebih rendah serta peningkatan perbelanjaan operasi termasuk kerugian pertukaran asing bersih.

 

Sementara itu, Betamek mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.25 sen sesaham yang akan dibayar pada 7 Disember 2026, menjadikan jumlah dividen terkumpul bagi tahun kewangan 2027 setakat ini sebanyak 2.50 sen sesaham, selain terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dan kepelbagaian perniagaan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved