Eksport kayu, produk kayu negara cecah RM9.4 bilion 

LocalBusiness & Finance
13 Sep 2026 • 1:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Eksport kayu, produk kayu negara cecah RM9.4 bilion 

PETALING JAYA: Nilai eksport kayu dan produk berasaskan kayu negara mencecah RM9.4 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, secara purata nilai eksport tahunan sektor berkenaan melebihi RM20 bilion.

Menurutnya, industri itu kini tidak lagi tertumpu kepada pengeluaran dan pemprosesan kayu semata-mata, sebaliknya berkembang kepada penghasilan pelbagai produk hiliran bernilai tambah.

“Industri ini juga tidak lagi tertumpu kepada pengeluaran dan pemprosesan kayu.

“Ia telah berkembang kepada penghasilan perabot, pintu, lantai, komponen binaan, kemasan dalaman serta pelbagai produk gaya hidup,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Road To The Oud & Wood Artisan Expo (OWA) Bersama Komoditi di sini, hari ini. 

Menurut Noraini, kerajaan pada masa sama akan terus memperkukuh aspek kebolehkesanan (traceability) selain meneroka pasaran baharu bagi meningkatkan daya saing industri berkenaan.

Katanya, usaha turut diberikan bagi membantu usahawan tempatan meluaskan pasaran produk mereka ke peringkat antarabangsa dan tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik.

“Selain daripada traceability kita perkukuhkan, kita juga sedang mencari pasaran-pasaran baharu dan membantu usahawan untuk membolehkan mereka pergi lebih jauh, bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi jika boleh mereka mengeksport produk ke luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih dua juta pokok karas telah ditanaman di seluruh negara bagi membangunkan industri gaharu secara lebih tersusun kerana potensinya yang semakin berkembang. 

Katanya, pembangunan itu perlu merangkumi keseluruhan rantaian industri bermula daripada penanaman dan penghasilan resin sehingga pemprosesan, penghasilan produk serta pemasaran.

“Potensi pasaran gaharu semakin berkembang. Pada 2025, eksport serpihan kayu (woodchips) gaharu mencecah hampir 95,000 kilogram dengan nilai kira-kira RM11.4 juta.

“Angka ini menunjukkan bahawa gaharu mempunyai pasaran yang nyata dan masih mempunyai ruang yang luas untuk dikembangkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia tidak seharusnya berpuas hati dengan hanya mengeksport gaharu dalam bentuk bahan mentah, sebaliknya perlu beralih kepada penghasilan produk bernilai lebih tinggi.

“Kita tidak mahu berhenti sebagai pengeksport bahan mentah. Kita mahu bergerak daripada kayu kepada minyak pati, daripada minyak pati kepada wangian dan seterusnya kepada jenama premium yang membawa nama Malaysia,” katanya. – UTUSAN

The post Eksport kayu, produk kayu negara cecah RM9.4 bilion  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved