Eksport kayu Sarawak cecah RM1.16 bilion setakat Jun 2026 - Pusaka

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 12:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eksport kayu Sarawak cecah RM1.16 bilion setakat Jun 2026 - Pusaka Image from: Eksport kayu Sarawak cecah RM1.16 bilion setakat Jun 2026 - Pusaka hamden21/09/2026 - 12:10

KUALA LUMPUR 21 Sept - Nilai eksport kayu balak dan produk berasaskan kayu dari Sarawak dianggarkan mencecah RM1.16 bilion setakat Jun tahun ini, kata Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (Pusaka), Datuk Zainal Abidin Abdullah.

 

Beliau berkata nilai eksport itu lebih rendah berbanding RM1.21 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu, disebabkan cabaran berkaitan harga pasaran, nilai produk dan perubahan keadaan pasaran antarabangsa.

 

“Bagaimanapun, papan lapis kekal sebagai penyumbang utama dengan nilai eksport melebihi RM500 juta, diikuti kayu balak kira-kira RM192 juta dan produk pengganti kayu sebanyak RM180 juta,” katanya.

 

Produk hiliran turut menyumbang kepada keseluruhan nilai eksport, berjumlah RM200 juta dalam tempoh sama.

 

“Kebanyakan produk seperti sisa kayu, biojisim, pelet kayu, panel kayu dan bioarang dieksport ke Jepun dan China. Bagi industri kayu hiliran, Pusaka menggalakkan pemain industri menggunakan sumber kayu dari kawasan ladang hutan,” katanya.

 

Beliau berkata kerajaan Sarawak telah menghentikan pengeluaran lesen pembalakan sejak 2014 bagi membendung pembalakan haram dan pencerobohan hutan secara tidak terkawal yang boleh menjejaskan alam sekitar.

 

Pembangunan ladang hutan 500,000 hektar

Pada masa sama, katanya, kerajaan mengeluarkan lesen seperti lesen ladang pokok industri (ITP) bagi tujuan penghutanan semula, yang bertujuan mengekalkan kelestarian alam sekitar selain memastikan bekalan bahan mentah yang berterusan untuk industri kayu hiliran negeri.

 

“Kami menggalakkan pemain industri hiliran menghasilkan produk bernilai tambah bagi meningkatkan nilai eksport pada masa akan datang, berbanding hanya mengeksport kayu balak,” katanya.

 

Menurut rekod Pusaka, lebih 500,000 hektar tanah di seluruh Sarawak telah diluluskan untuk pembangunan ladang hutan menerusi lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Hutan Sarawak.

 

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh industri kayu negeri, yang menetapkan sasaran nilai eksport sebanyak RM8 bilion menjelang 2030.

 

“Kami telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menarik pelaburan baharu, termasuk penyediaan taman perabot yang melibatkan pelaburan infrastruktur bernilai lebih RM200 juta.

 

“Setakat ini, kami bekerjasama dengan pemain industri tempatan di bawah Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA), dan semua usahawan berdaftar ini agak aktif dalam mempromosikan produk perabot untuk pasaran domestik dan antarabangsa,” tambahnya. - BERNAMA  

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved