Rizab elektrik Sabah dijangka cecah 26% menjelang akhir 2026 - Hajiji

21 Sep 2026 • 3:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rizab elektrik Sabah dijangka cecah 26% menjelang akhir 2026 - Hajiji Image from: Rizab elektrik Sabah dijangka cecah 26% menjelang akhir 2026 - Hajiji hamden21/09/2026 - 15:43

KUALA LUMPUR 21 Sept - Margin rizab penjanaan elektrik Sabah meningkat daripada paras rendah 8% pada 2024 kepada 19% setakat Ogos tahun ini dan dijangka mencapai 26% menjelang akhir tahun, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

 

Beliau berkata Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (Saidi) turut menunjukkan peningkatan ketara, daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai tahun ini.

 

“Ini selaras dengan Hala Tuju Tenaga dan Pelan Induk Sabah (SE-RAMP 2040) serta sasaran untuk mencapai 50% campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah di Menara Kinabalu di sini pada Isnin.

 

Hajiji berkata peningkatan itu hasil daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan bagi memperkukuh grid elektrik negeri.

 

Beliau berkata sektor tenaga Sabah perlu diperkukuh secara menyeluruh, termasuk memastikan kesiapsiagaan infrastruktur penghantaran dan pengagihan bagi meningkatkan kebolehpercayaan serta daya tahan sistem.

 

Mesyuarat itu turut membincangkan kajian semula Kajian Unjuran Permintaan Jangka Panjang (LTDF2026) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik (PDP2026) bagi tempoh 10 tahun akan datang bagi memastikan perancangan kapasiti penjanaan seiring dengan pertumbuhan permintaan elektrik.

 

Hajiji berkata perancangan turut sedang dilaksanakan untuk membangunkan loji jana kuasa berasaskan gas di Sandakan dan Tawau bagi menggantikan loji diesel serta minyak bahan api sederhana (MFO) yang mempunyai kos lebih tinggi.

 

“Tambahan kapasiti solar berskala besar (LSS) dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), yang dilaksanakan menerusi proses bidaan kompetitif, turut menyokong usaha memperkukuh sistem penjanaan,” katanya.

 

Beliau berkata projek LSS dan BESS turut dilaksanakan khusus bagi meningkatkan kebolehpercayaan penjanaan elektrik di kawasan pantai timur.

 

Ketua Menteri berkata sistem bekalan elektrik Sabah menunjukkan peningkatan ketara sejak negeri itu mengambil alih kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu.

 

“Sebelum ini, kami terpaksa menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapatkan kelulusan bagi permohonan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan, tetapi sejak mengambil alih, kami boleh melaksanakannya sendiri dan menambah baik sistem bekalan elektrik dengan lebih pantas,” katanya.

 

Sabah mengambil alih kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu selepas Dewan Undangan Negeri meluluskan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 serta pindaan kepada Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 pada 3 Januari 2024. - BERNAMA 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved