“Elak Kejadian Tak Diingini” – Tular Tembak Lembu Korban, Ini Penjelasan MB Perlis [Video]

LocalPolitics
29 May 2026 • 2:58 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: “Elak Kejadian Tak Diingini” – Tular Tembak Lembu Korban, Ini Penjelasan MB Perlis [Video]

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak semalam (28 Mei), tular di media sosial rakaman video Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang didakwa menembak seekor lembu ketika ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Menerusi video tular, Abu Bakar dilihat menembak seekor lembu menggunakan selaras senapang patah sebelum menghampiri haiwan tersebut.

Video itu nyata mendapat perhatian hingga ia mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

Seorang pengguna Threads turut mempersoalkan sama ada ibadah tersebut sah atau tidak kerana dakwanya lembu tersebut selepas dipusingkan sudah tidak lagi bergerak.

View on Threads

Menteri Besar Perlis Jelas Perbuatan Tembak Lembu Korban, Mahu Elak Perkara Tidak Diingini

Terbaharu, Abu Bakar yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis tampil memberi penjelasan berhubung kejadian tular itu.

Penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan orang ramai mengenai video tular beliau yang menembak seekor lembu sedang mengamuk dalam program Korban Perdana DUN Kuala Perlis semalam (28 Mei).

Jelas Abu Bakar yang menyembelih sendiri 24 ekor lembu korban dalam program tersebut, haiwan berkenaan telah mengamuk selepas tali terlucut.

Keadaan itu sekali gus mengundang kemudaratan kepada para petugas seperti yang berlaku di lokasi lain sehingga menyebabkan kematian.

Hanya Tembak Bahagian Kaki, Lembu Masih Hidup & Disembelih

Terang Abu Bakar, dia hanya menembak pada bahagian kaki haiwan berkenaan sebelum proses penyembelihan dilaksanakan seperti biasa.

“Kita buat program korban membabitkan 25 ekor lembu. Hanya seekor yang talinya terlepas lari dan mengamuk, jadi kita terpaksa hentikanlah daripada mengelak sebarang mudarat atau bahaya kepada petugas atau orang ramai.

“Seekor lembu itu yang kita tembak tidak mati, ia dilepaskan mengenai kaki dan kemudian kita melakukan proses penyembelihan seperti biasa. Saya sudah sembelih 24 ekor lembu, yang satu ini sahaja kita tembak di kaki sebelum sembelih.

“Saya tembak bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti berlaku di beberapa lokasi lain di seluruh negara sehingga ada kes yang mengorbankan nyawa akibat ditanduk lembu,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Polis Belum Terima Laporan Rasmi, Jalankan Siasatan Awal

Dalam pada itu, polis mengesahkan pihaknya masih belum menerima laporan rasmi berhubung video tular berkenaan.

Namun jelas Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, siasatan awal berhubung kejadian berkenaan sedang dijalankan.

Jelas Yusharifuddin, pihak polis sudah mengambil maklum mengenai rakaman video yang tular sejak semalam itu.

“Insiden (video tular) itu sudah berada dalam pengetahuan pihak polis. Setakat ini belum ada sebarang laporan polis diterima, namun siasatan awal sedang dilakukan,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Polis Akan Panggil Menteri Besar Perlis Bagi Membantu Siasatan

Terang Yusharifuddin, siasatan terperinci juga sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti jenis peluru dan senjata yang digunakan dalam insiden terbabit.

Malah, pihaknya juga akan memanggil Menteri Besar Perlis dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Kita akan panggil Menteri Besar untuk mendapatkan keterangan berkaitan isu ini,” jelasnya.