MB Perlis pertahan tindakan tembak lembu demi keselamatan orang ramai

LocalPolitics
29 May 2026 • 6:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MB Perlis pertahan tindakan tembak lembu demi keselamatan orang ramai
Laporan Sinar Harian berhubung polis siasat MB Perlis lepaskan tembakan ke arah lembu korban

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mempertahankan tindakannya menembak seekor lembu korban yang dikatakan mengamuk, bagi memastikan keselamatan orang ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu berkata, tindakan berkenaan juga bertujuan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini kepada petugas ibadah korban.

“Saya bukan tembak suka-suka. Lembu itu mengamuk.

“Apabila ia terlepas, kita tidak boleh buat apa lagi. Jadi saya ambil senapang dan tembak pada kaki… selepas ia jatuh, barulah kita sembelih,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa lembu korban tersebut disembelih menggunakan kaedah tembakan.

Menurutnya, program ibadah korban di kawasan berkenaan melibatkan 25 ekor lembu, namun hanya seekor bertindak mengamuk dan terlepas daripada ikatan.

“Hanya seekor lembu ditembak selepas didapati mengamuk, manakala 24 ekor lagi disembelih mengikut prosedur biasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan sedang dijalankan susulan penularan video insiden berkenaan.

Menurutnya, setakat ini polis belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan kejadian itu.

“Bagaimanapun, siasatan awal sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan turut menjurus kepada jenis peluru yang digunakan sama ada peluru hidup atau sebaliknya.

“Perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Tambahnya, pihak polis akan memanggil Menteri Besar Perlis itu bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tular video berdurasi 38 saat di media sosial memaparkan Abu Bakar Hamzah menembak seekor lembu dipercayai bagi tujuan ibadah korban.