Tembak Kaki Lembu Mengamuk Demi Keselamatan, Lepas Jatuh Baru Sembelih – MB Perlis

LocalPolitics
29 May 2026 • 6:20 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, tampil mempertahankan tindakannya menembak seekor lembu korban yang didakwa mengamuk, dengan menegaskan langkah tersebut diambil demi keselamatan orang ramai.

Tembak demi keselamatan

Image from: Tembak Kaki Lembu Mengamuk Demi Keselamatan, Lepas Jatuh Baru Sembelih – MB Perlis

Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau menjelaskan bahawa dakwaan di media sosial yang menggambarkan seolah-olah lembu korban itu disembelih menggunakan kaedah tembakan adalah tidak tepat.

Menurutnya, hanya seekor lembu terpaksa ditembak selepas haiwan tersebut terlepas daripada ikatan dan bertindak agresif, manakala 24 ekor lembu lain disembelih mengikut kaedah serta prosedur biasa.

“Saya bukan tembak suka-suka. Lembu itu mengamuk. Kalau dibiarkan dan ia tanduk orang sampai mati, siapa hendak jawab?
“Bila ia terlepas, kita tidak boleh buat apa lagi. Jadi saya ambil senapang dan tembak pada kaki. Selepas ia jatuh, barulah kita sembelih,” kata Abu Bakar.

Beliau turut menjelaskan bahawa tembakan pada bahagian kaki haiwan tersebut bertujuan untuk menenangkannya sebelum proses penyembelihan dilakukan.

Image from: Tembak Kaki Lembu Mengamuk Demi Keselamatan, Lepas Jatuh Baru Sembelih – MB Perlis

Sebelum ini, tular dalam kalangan pengguna media sosial yang mempersoalkan tindakan Abu Bakar yang dilihat menggunakan senjata api untuk menembak seekor lembu korban di kawasan terbuka.

Perkara itu turut mencetuskan perdebatan mengenai prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban di Perlis, khususnya berhubung penggunaan senjata api dalam proses penyembelihan.

Selain itu, sebahagian masyarakat turut mempersoalkan kesahihan ibadah korban tersebut dari sudut syarak, apabila lembu berkenaan dilihat dalam keadaan longlai ketika dipusingkan oleh beberapa individu.

Semalam, media melaporkan Abu Bakar sendiri turun padang mengetuai proses penyembelihan 25 ekor lembu sempena program korban perdana DUN Kuala Perlis.

Artikel lain: Kerbau Tiba-Tiba Naik Minyak, Seorang Maut Ditanduk Ketika Ibadah Korban Di Ulu Tiram

Dalam majlis berkenaan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis menyembelih sendiri kesemua 25 ekor lembu sebelum dagingnya diagihkan kepada hampir 5,000 penduduk setempat.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan dakwaan tidak tepat tanpa memahami situasi sebenar di lokasi kejadian.

Katanya, penyebaran cerita yang tidak lengkap boleh mencetuskan fitnah serta menimbulkan salah faham terhadap pihak penganjur program korban.

Sumber: Free Malaysia Today (Anne Muhammad)

The post Tembak Kaki Lembu Mengamuk Demi Keselamatan, Lepas Jatuh Baru Sembelih – MB Perlis appeared first on Borak Daily.

View Original Article