Gaji pekerja perlu ambil kira kos sara hidup semasa

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 1:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gaji pekerja perlu ambil kira kos sara hidup semasa

PETALING JAYA: Penetapan gaji pekerja perlu mengambil kira realiti kos sara hidup semasa bagi memastikan pendapatan yang diterima benar-benar mampu menjamin kebajikan untuk pekerja serta keluarga.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, perubahan pelbagai kos seperti makanan, perumahan, pengangkutan, pendidikan dan keperluan asas memberi kesan secara langsung terhadap kuasa beli pekerja termasuk kelompok berpendapatan rendah.

Katanya, kajian semula Perintah Gaji Minimum 2024 yang sedang dilaksanakan kerajaan adalah penting untuk menilai sama ada kadar semasa masih relevan dengan keadaan dan keperluan pekerja hari ini.

“Bagi pekerja, isu gaji bukan sekadar mengenai satu angka di atas slip gaji. Persoalan yang lebih penting ialah apa yang mampu dibeli dengan gaji tersebut dan sama ada ia mencukupi untuk pekerja memenuhi keperluan asas keluarga mereka.

“Apabila kos sara hidup berubah, nilai sebenar pendapatan pekerja juga berubah. Sebab itu kadar gaji perlu dinilai dari semasa ke semasa supaya kebajikan dan kuasa beli pekerja terus dilindungi,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Shafie berkata, kebajikan pekerja perlu diberikan perhatian memandangkan mereka antara tonggak utama yang menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.

Katanya, pekerja tidak seharusnya berada dalam keadaan di mana sebahagian besar pendapatan bulanan hanya mencukupi untuk menampung keperluan paling asas tanpa mempunyai ruang kewangan untuk menghadapi kecemasan, pendidikan anak-anak atau membina simpanan.

“Pekerja keluar bekerja setiap hari untuk membina kehidupan yang lebih baik untuk keluarga. Mereka bukan hanya perlu mampu membayar bil dan membeli makanan, tetapi juga perlu mempunyai sedikit ruang untuk menyimpan, menjaga kesihatan, membiayai pendidikan anak-anak dan menghadapi perkara yang tidak dijangka,” katanya.

Mohamed Shafie menegaskan, proses kajian semula tidak bermaksud kadar gaji minimum perlu dinaikkan secara automatik.

Sebaliknya, ia merupakan peluang untuk kerajaan bersama wakil pekerja dan majikan menilai pelbagai indikator sebelum menentukan sama ada kadar semasa masih sesuai.

Katanya, UNI-MLC bersedia memberikan pandangan dan kerjasama dalam proses kajian semula berkenaan bagi memastikan dasar gaji negara terus responsif terhadap perubahan ekonomi dan realiti kehidupan pekerja. – UTUSAN

The post Gaji pekerja perlu ambil kira kos sara hidup semasa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved